Dodge Challenger? Bukan, ini Mitsuoka M55 Concept, guna asas Civic FL1!

oleh Mohamad Hanif|
Mitsuoka merupakan sebuah jenama automotif dari Jepun yang sangat terkenal dengan rupa paras dan pendekatan rekaan yang agak unik (baca: aneh).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Selepas kehadiran model Viewt (Yaris) dan Himiko (Miata), Mitsuoka kini tampil dengan sebuah model konsep yang digelarkan sebagai M55 Concept.

Kenapa 55? Ia adalah bersempena dengan ulang tahun yang ke-55 sejak Mitsuoka Motor mula ditubuhkan pada tahun 1968.
 

M55


Cuba teka, Mitsuoka M55 ini dibina berdasarkan model apa?

Ya, jika anda terus melihat pada bahagian ruang kabin, anda akan mendapat jawapan yang tepat - Honda Civic FL1!
 

M55


Boleh dikatakan, Mitsuoka tidak langsung mengubah susun atur asal papan pemuka model Honda tersebut, melainkan dengan menggantikan lambang H kepada logo Mitsuoka pada roda stereng.

Selain itu, upholsteri tempat duduk telah digantikan dengan balutan kulit biru muda berserta elemen cincin logam yang mengingatkan kita kepada gaya klasik era 70-an.

Untuk bahagian luar, bukti ia sebuah Civic hatchback hanya wujud pada struktur tingkap sisi sahaja, sementara rekaan muka depan dan belakang adalah baharu sepenuhnya.
 

M55


Terutama pada bahagian depan, ia mungkin mengingatkan anda pada model kereta muscle Amerika Dodge Challenger.

Bahagian kaca pintu tailgate pula dipasangkan dengan struktur visor air terjun, sebelum diakhiri dengan spoiler hitam kecil.

Akhir sekali, set rim 18 inci berwarna hitam kusam menghiasi ruang arka roda dengan balutan getah Michelin Primacy 4.
 

M55


Buat masa ini, Mitsuoka tidak mempunyai sebarang perancangan untuk merealisasikan M55 Concept.

Namun anda boleh melihat model ini dengan lebih dekat di bilik pameran Mitsuoka yang terletak di Azabu, Tokyo (24 November-16 Disember 2023) dan Mitsuoka Toyama Showroom (12-28 Januari 2024).

Berita Berkenaan

Berita Global
Model tersebut dibina berdasarkan sambutan ulang tahun Mitsuoka Motor yang ke-55 tahun sejak ia…