Bukan Vios baharu tetapi Toyota Yaris WRC baharu

oleh Muhammad Md Tajudin|
Dua tiga hari ini, agak banyak juga laporan tentang Toyota Vios, kereta sedan kegemaran pasaran ASEAN. Pertama tentang Vios pasaran tempatan dengan perubahan kosmetik dan kelengkapan yang dipertingkatkan, kedua tentang perlumbaan Vios Challenge di Johor pada bulan ini dan ketiga tentang Vios baharu yang dipertontonkan di Pameran Kenderaan Singapura 2018.

Ini bukan tentang Vios tetapi mengenai sebuah kereta lumba Toyota iaitu Yaris WRC musim 2018. Pada pameran Autosport International yang sedang dilangsungkan di Birmingham, England, TOYOTA GAZOO Racing World Rally Team telah melancarkan jentera Yaris untuk musim 2018.
Toyota Yaris WRC 2018

Setelah lama tidak terlibat dalam WRC, Toyota menyertai semula perlumbaan rali berprestij itu pada tahun lepas. Musim pertama tiada apa yang hebat dan itu normal untuk pasukan baharu. Sekurang-kurangnya sesebuah pasukan memerlukan tiga musim sebelum mampu menunjukkan prestasi membanggakan.

Dalam misi sireh pulang ke gagang ini, Toyota tampil dengan perancangan baik apabila mempercayai Tommi Mäkinen sebagai prinsipal pasukan. Toyota juga mempunyai pelumba hebat iaitu Jari-Matti Latvala yang menduduki tangga keempat kategori pemandu pada musim 2017.

Selain itu, Toyota berjaya memperolehi podium di Rali Sweden dan Rali Finland dan akhir sekali tempat ketiga kategori pengeluar di belakang M-Sport dan Hyundai pada musim 2017.

Toyota Yaris WRC 2018

 

Untuk musim kedua, Toyota telah menambah baik Yaris WRC 2018 berdasarkan input dan pengalaman dari tahun lalu. Perubahan yang dilakukan termasuk bampar dan fender baharu. Perubahan dibuat bagi mendapatkan keseimbangan aerodinamik dengan menambah downforce pada bahagian depan.

Juga dinaik taraf ialah sistem penyejukan yang dapat membantu semasa pusingan WRC dalam cuaca panas. Kesemua perubahan ini telah pun diuji dalam beberapa bulan terakhir tahun lalu sebagai persiapan kepada pusingan pertama WRC, Rallye Monte-Carlo pada 25 hingga 28 Januari depan.

WRC musim 2018 dijangka sengit dan lebih meriah apabila Ford turut kembali bersama pasukan M-Sport dan suatu yang mengujakan apabila Sébastien Loeb akan menamatkan persaraannya dan memegang stereng Citroën dalam tiga pusingan terpilih.

Toyota Yaris WRC 2018

Hyundai pula semestinya tidak akan duduk diam di mana mereka juga turut mengutip input dan pengalaman berharga pada musim lalu. 

Apa pun, Toyota Yaris WRC 2018 ini nampak ganas dengan pakej aerodinamik baharu dan seolah-olah jentera rali legenda Group B. Badan kompak tapi berketak-ketak.

Mustahil untuk kita menyaksikan Yaris WRC 2018 ini di Malaysia dan oleh itu apa khabar Pasukan Rali Perodua yang telah lama bersara dan berehat dari Rali Malaysia?

Perodua Myvi calon adalah yang sesuai untuk membuat penampilan semula.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Berdasarkan laporan tahunan Vehicle Health Index Make and Model Reliability Rankings yang…
Uncategorized
Apa yang menarik, menurut khabar angin yang dilaporkan oleh Japanese Nostalgic Car, Toyota MR2 ini…
Berita Global
Trak pikap beliau mengalami beberapa kerosakan akibat kebakaran, namun kenderaan tersebut…