Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata jumlah SJR yang diadakan mungkin melebihi 1,000 pada setiap hari, berbanding 930 SJR dan Ops Benteng yang ada sekarang.
Katanya, beliau masih belum berpuas hati dalam perkara itu selepas pemantauan dilakukannya sendiri semalam, meskipun sekatan pergerakan penuh sudah berlangsung sejak Selasa lalu.
"Kita sudah membawa perkara ini dalam perbincangan dan memutuskan SJR serta pemantauan di seluruh negara akan dipertingkatkan mulai hari ini.
"Semalam saja sebanyak 930 SJR dan Ops Benteng dijalankan di seluruh negara dan kita akan pertingkatkan lagi di lokasi yang masih banyak jumlah kereta berdasarkan statistik diperoleh dua hari pertama sekatan pergerakan penuh berlangsung.
"Ia mungkin melebihi jumlah 1,000 sekatan pada setiap hari," katanya selepas pemantauan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, hari ini.
Hamzah berkata, keputusan itu dilakukan hasil perbincangan dengan Ketua Polis Negara dan dua negeri iaitu Selangor serta Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan.
Sebelum ini, Hamzah berkata, sekatan jalan raya di seluruh negara akan ditambah daripada 600 kepada lebih 800, bermula sekatan penuh dilaksanakan.
Kira-kira 70,000 anggota polis dan agensi bawah KDN juga akan ditugaskan sepanjang tempoh terbabit.
Sumber: Berita Harian