“Dari segi keselamatan, kami tidak menggalakkan pengguna untuk membeli tayar terpakai dan semua penyelidikan yang dibuat pastinya tahu tayar juga antara punca berlakunya kemalangan jalan raya.
“Isunya sekarang, ramai pengguna terpaksa membeli tayar terpakai kerana tidak mampu untuk mengeluarkan kos yang tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Jacob George berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan segera berhubung perkara ini sebelum lebih banyak kemalangan melibatkan kualiti tayar berlaku.
“Rakyat Malaysia banyak pakai kenderaan buatan tempatan, pastinya tiada masalah dengan adanya tayar buatan tempatan yang murah dan kualiti.
“Bukan hanya keselamatan terjamin, kemalangan yang berpunca daripada ‘bangkai tayar’ yang bertebaran di lebuh raya juga dapat dielakkan,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, pengguna juga perlu lebih berhati-hati dalam memilih tayar terpakai.
“Jika subsidi diberikan kepada tayar, pastinya semua barang akan dituntut diberikan subsidi, jadi sekarang terserah kepada pengguna untuk membeli tayar yang murah dan berkualiti.
“Tidak digalakkan untuk membeli tayar terpakai, namun kita perlu bijak berbelanja dan gunakan wang kepada barang yang murah dan berkualiti,” katanya.