Belian saat akhir, tempahan kereta dijangka melonjak

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Jumlah tempahan kereta penumpang baharu dan terpakai dijangka melonjak pada Jun berikutan pengumuman kerajaan melanjutkan insentif pengecualian cukai bagi kenderaan yang ditempah sehingga akhir bulan ini.


Penganalisis TA Securities, Angeline Chin, berkata bukan setakat tempahan, jumlah keseluruhan industri (TIV) juga diramalkan melonjak ketara bulan ini, selepas ramai dijangka menyerbu bilik pameran untuk 'beli-belah saat akhir'.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Ramai yang mungkin menyerbu bilik pameran untuk tempoh 10 hari terakhir sebelum tempoh tempahan untuk melayakkan mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berakhir.

 

"Berikutan lonjakan tempahan saat akhir ini, kami menjangkakan pengeluar kenderaan akan berdepan jumlah tunggakan tempahan yang besar dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

 

"Pastinya, untuk memenuhi tempahan ini akan menjadi keutamaan bagi mereka," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Chin berkata, meskipun kerajaan melanjutkan insentif bagi memanfaatkan cuti cukai sehingga 31 Mac 2021 bagi kenderaan yang ditempah sebelum 1 Julai, firma penyelidik itu meramalkan TIV untuk tahun ini kekal pada 600,000 unit.

 

"TIV untuk lima bulan pertama 2022 meningkat 7.3 peratus tahun ke tahun kepada 265,300 unit merangkumi 44 peratus daripada anggaran setahun penuh kami," katanya.

 

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

 

Tengku Zafrul berkata, lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

 

Sementara itu, CGS-CIMB dalam nota penyelidikan berkata, firma penyelidikan itu melihat perkembangan berkenaan sebagai yang positif kepada sektor automotif Malaysia kerana ia akan memberikan keterlihatan permintaan yang sihat untuk tempoh sembilan bulan akan datang.

 

"Bagaimanapun, kami melihat risiko penurunan kepada TIV pada 2023 kesan daripada insentif ini. Kami mengekalkan unjuran TIV 580,000 unit bagi tahun ini.

 

"Walaupun TIV 2022 berpotensi lebih tinggi, kami masih melihat risiko pendapatan untuk sektor ini berdasarkan aspek pertukaran asing yang tidak menguntungkan dan tekanan inflasi daripada peningkatan kos bahan mentah serta buruh," katanya.

 

Inisiatif pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kenderaan utiliti sukan (SUV) bagi model pemasangan tempatan (CKD) dan import sepenuhnya (CBU) diperkenalkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun 2020, berkuat kuasa mulai 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

 

Ia merangkumi pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi model CKD dan 50 peratus bagi model CBU.

 

Pada 29 Disember 2020, kerajaan mengumumkan lanjutan pengecualian cukai terbabit untuk tempoh enam bulan sehingga 30 Jun 2021.

 

Pada 31 Mei 2021, kerajaan sekali lagi bersetuju melanjutkan pengecualian cukai sama sehingga 31 Disember 2021.

 

Bagaimanapun, sebelum tempoh insentif itu berakhir, Tengku Zafrul mengumumkan kerajaan memutuskan melanjutkan pengecualian cukai sehingga 30 Jun ini untuk mengurangkan kos pemilikan kenderaan, selain meringankan beban rakyat.

 

Sejak 15 Jun 2020, sebanyak 868,422 unit kenderaan telah terjual dan rakyat telah mendapat manfaat pengecualian cukai jualan berjumlah RM4.7 bilion.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Malah, ketika tinjauan BH di sekitar ibu kota, ada pembeli kereta sanggup menunggu sehingga enam…
Berita Domestik
  Ia bagi mengelak sebarang penyerahan tempah melepas tarikh akhir berkenaan.   "Langkah itu…
Berita Domestik
Ini bermakna, untuk kenderaan pemasangan tempatan (CKD) masih lagi boleh menikmati pengecualian…