Bas elektrik Majlis Perbandaran Taiping dibuka untuk tempahan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari portal MPT
Perkhidmatan bas elektrik Majlis Perbandaran Taiping (EV Bas MPT) hari ini dibuka bagi tempahan kepada orang awam dengan diskaun 30 peratus ditawarkan kepada mereka yang berminat.

Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, tiket bas boleh didapati di Kaunter Tiket Zoo Taiping dan Night Safari dengan harga bagi dewasa RM20 manakala warga emas, pelajar, kanak-kanak dan orang kelainan upaya (OKU) dijual RM10.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

“Sebagai permulaan operasi, tiket dijual dengan kadar diskaun 30 peratus sehingga 31 Disember 2023. Selepas diskaun, tiket EV Bas MPT dijual dengan kadar dewasa RM14 manakala tiket warga emas, pelajar, kanak-kanak dan OKU dijual dengan harga RM7.

“Laluan EV Bas MPT melibatkan laluan Jejak Warisan di sekitar Bandar Taiping sejauh 11.5 kilometer (km). EV Bas MPT beroperasi setiap hari termasuk hujung minggu. Tiga kali perjalanan disediakan sehari iaitu bermula pukul 9 dan 11.30 pagi serta 3 petang,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap perjalanan mengambil masa selama sejam 21 minit, bahkan Pemandu Pelancongan turut disediakan bagi memberi penerangan tentang lokasi Jejak Warisan.

Mengulas lanjut, Khairul Amir berkata, perjalanan EV Bas MPT bermula di Zoo Taiping dan Night Safari dan berhenti rehat selama 10 minit di tiga tempat iaitu di Raintree Walk, Menara Jam dan Galeri Perbandaran Taiping.

“EV Bas MPT mempunyai kapasiti 22 penumpang termasuk dua penumpang OKU. Ia merupakan inisiatif beberapa syarikat tempatan dan luar negara sejak 2015.

“Bas ini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dan disumbangkan oleh Kerajaan Jepun melalui Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, EV Bas MPT telah beroperasi bagi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula 1 Mei hingga 31 Julai semalam.

“Sepanjang tempoh percubaan, pihak majlis telah mengurangkan cadangan asal empat
kali perjalanan sehari kepada tiga kali sehari kerana tempoh mengecas bas mengambil masa yang agak lama.

“Selain itu, pihak majlis juga telah mengurangkan cadangan asal empat hentian kepada tiga hentian supaya perjalanan mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

Berita Berkenaan

Berita Global
Timbalan pengurus besar kementerian itu, Daw Myat Mon Thein memberitahu pada Xinhua "Kami kini…
Berita Global
Bas Elec City Town sepanjang 9 meter itu mempunyai jarak gerak 220 km dan harganya di Korea Utara…
Berita Domestik
MAN Malaysia bakal menawarkan casis bas elektrik sepenuhnya bersama casis konvensional yang…