Aznom Palladium - sedan trak pikap yang diinspirasikan daripada Rolls-Royce

oleh Mohamad Hanif|
Jika anda ingat kereta Presiden Amerika merupakan satu-satunya 'sedan' yang dihasilkan daripada platform trak pikap, anda silap kerana model yang kami paparkan ini juga sebenarnya menggunakan konsep yang serupa.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ucapkan selamat datang kepada sedan mewah (hyper limousine?) Aznom Palladium, dan seperti yang anda lihat ia sebenarnya merupakan pendekatan yang lebih premium berbanding model Aznom Atulux yang pernah kami paparkan dua tahun yang lalu.

 


Aznom menggunakan platform daripada trak pikap Ram 1500 dengan kebanyakan rekaan luaran diambil inspirasi daripada Rolls-Royce, seperti contoh lampu utama LED petak dan rekaan gril menegak itu.

Di bahagian belakang, rekaan asal Ram 1500 telah diubah sepenuhnya dengan kehadiran garis bumbung ala-ala Wira Aeroback, pemasangan cladding plastik, dan fender belakang berbonjol.

Selain daripada empat unit tingkap standard, Aznom turut memasang tingkap privasi "horizon window" yang lebih kecil pada tiang belakang.  

 


Untuk mengakses ruang kargo, ia tidak hadir dengan bukaan pintu yang biasa, sebaliknya Aznom mendatangkan ciri bukaan sekaan sebuah laci yang bergerak secara melintang (macam nak masuk mesin masa Doraemon).

Identiti asal Palladium nampaknya lebih menyerlah di dalam kabin, di mana komponen asal Ram 1500 kini dihiasi dengan balutan kulit yang agak fancy, trim kayu dan aksen aluminium.

Untuk kemudahan, tempat panel pintu sebelah pemandu disediakan dengan sebuah skrin sentuh bagi mengawal lampu dalaman, peti sejuk (!), trunk, serta ciri bukaan laci dan ruang barangan secara automatik.

 


Tempat duduk penumpang belakang pula seakan sebuah sofa yang dibaluti kulit serta dikemaskan dengan trim kayu, serta terdapat kehadiran laci menegak yang boleh digunakan untuk menyimpan minuman keras.

Untuk hiburan, Aznom mendatangkan sistem audio Harman Kardon, dua unit tablet Surface Pro X, serta jam buatan tangan yang menampilkan elemen emas dan palladium.

 


Untuk menggerakkan sedan ini, Aznom melengkapkan enjin V8 5.7 liter dengan bantuan turbo berkembar yang berupaya menghasilkan 700 kuasa kuda dan 950 Nm, dipadankan dengan sistem transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa sekitar 4.5 saat dan mempunyai kelajuan tertinggi 210 km/j.

Sistem brek Brembo digunakan bagi menghentikan sedan dengan berat 2,650 kg ini, terdiri daripada angkup enam omboh dan cakera brek 408 mm hadapan dan angkup empat omboh serta cakera 380 mm yang berselindung di sebalik rim bersaiz 22 inci.

 


Produksi Aznom Palladium hanya akan dihadkan kepada 10 unit sahaja, dan syarikat tersebut menjangkakan pelanggannya datang dari pasaran seperti China, Russia, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Syarikat yang berasal dari Itali itu nampaknya kembali dengan sebuah lagi model yang berkonsepkan…