Malah, Aston Martin menyifatkan Valkyrie Spider merupakan kereta open-top yang terpantas pernah dihasilkan, namun ia bukanlah semudah membuka bumbung dan terus menjualnya kepada mereka yang berminat.
Ini kerana menurut ketua pegawai teknikal Red Bull Racing, Adrian Newey menjelaskan, "cabaran besar adalah untuk mengekalkan aspek aerodinamik tatkala pemanduan dengan bumbung yang terbuka, dan dalam masa yang sama mengurangkan penambahan berat yang ketara dan mengekalkan keterujaan pemanduan yang sama seperti model asal.

Namun, apa yang anda dapat lihat adalah panel bumbung yang mudah untuk dibuka dan dipasang kembali yang diperbuat daripada gentian karbon.
Tidak seperti model Valkyrie dengan bukaan pintu gullwing ke atas, Valkyrie Spider didatangkan dengan pintu engsel dihedral yang dibuka ke hadapan untuk memudahkan urusan keluar masuk, sementara panel bumbung itu boleh dialihkan dengan mudah apabila kedua-dua pintu dibuka.
Malah menurut Aston Martin, disebabkan perbezaan itu mereka perlu menyemak kembali struktur karbon hypercar ini tanpa menyebut secara spesifik kesannya ke atas penambahan berat Valkyrie Spider.

Tolak ketepi aspek tersebut, Valkyrie Spider masih lagi merupakan hypercar pantas di atas jalan lurus, dengan kelajuan maksimum 350 km/j atau 330 km/j dengan bumbung terbuka.
Tiada sebarang perubahan dilakukan terhadap unit trenkuasa, di mana Aston Martin Valkyrie Spider masih lagi mengekalkan nadi 6.5 liter V12 yang berupaya menghasilkan 1,000 kuasa kuda.
Dengan bantuan sistem elektrik bateri 160 hp oleh Rimac, kuasa keseluruhan mampu mencecah 1,134 hp @ 10,500 rpm dan 900 Nm @ 6,000 rpm.

Seperti yang disebutkan tadi, hanya 85 unit sahaja yang akan dihasilkan, dan boleh didapati dalam versi pemanduan sebelah kanan atau kiri bergantung kepada permintaan pelanggan.
Harga pula tidak disebutkan, namun sebagai rujukan, harga untuk sebuah Aston Martin Valkyrie hardtop bermula dari £2,310,000 (RM13.513,597).