Aston Martin DBX707 2023 - SUV pantas 707 PS, 0-100 km/j 3.2 saat, kelajuan tertinggi 310 km/j

oleh Mohamad Hanif|
Segmen SUV mewah kini menerima sebuah lagi pendatang baharu yang lebih pantas, dan mampu memalukan ahli keluarga sedia ada dengan prestasi yang jauh lebih pantas.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

Memperkenalkan, Aston Martin DBX707 2023, di mana ia kini menjadi SUV mewah paling berkuasa di dunia dengan output setinggi 707 PS.
 

707


Pertama sekali, Aston Martin telah menala kembali nadi AMG 4.0 liter V8 turbo berkembar itu, dengan peningkatan kuasa sebanyak 157 PS dan 200 Nm kepada 707 PS dan 900 Nm berbanding angka output pada DBX V8 standard.

Ini menjadikan DBX707 jauh lebih berkuasa daripada SUV pantas seperti Lamborghini Urus (650 PS) dan Bentley Bentayga Speed (635 PS).

Selain itu, transmisi asal jenis torque converter telah digantikan dengan transmisi klac basah sembilan nisbah kelajuan untuk penukaran gear yang lebih pantas, digandingkan dengan sistem AWD yang disemak kembali serta LSD yang dinaik taraf.
 

707


Hasilnya, pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam masa 3.2 saat dan kelajuan tertinggi mencapai 310 km/j, jauh lebih pantas berbanding rekod 306 km/j oleh Bentayga Speed.

Aston Martin turut memberikan penekanan kepada sistem suspensi  yang kini menerima tetapan baharu terhadap suspensi udara adaptif triple-chamber, diikuti peredam baharu serta komponen spring, stereng dan sistem elektronik yang telah dikalibrasi semula.

Sistem brek pula didatangkan dengan cakera seramik karbon 420 mm di hadapan, dan 390 mm di belakang dibantu dengan penggunaan angkup brek enam omboh.
 

707


Dari segi luaran, Aston Martin DBX707 2023 didatangkan dengan kit badan yang lebih agresif, seperti gril hadapan yang lebih besar dengan liang kemasukan baharu, serta splitter yang mampu meningkatkan tahap aerodinamik dan sistem penyejukan terhadap enjin, kotak gear dan brek.

Rim pula adalah standard saiz 22 inci dan boleh dinaiktaraf kepada saiz 23 inci, sementara bahagian belakang pula menampilkan unit diffuser ala-ala F1, empat tip ekzos yang lebih besar, serta spoiler belakang yang lebih dramatik.
 

707


Untuk ruang kabin, DBX707 didatangkan dengan tempat duduk sports (boleh ditukar kepada jenis kerusi selesa) dengan 16 larasan dan sistem pemanas, butang pemilihan mod dan tetapan pemanduan khusus termasuk suis ekzos aktif, serta pilihan upholsteri kulit, Alcantara dan kemasan venir hitam piano.

Harga jualan Aston Martin DBX707 2023 bermula dari $232,000 (RM971,036) di Amerika Syarikat.

Berita Berkenaan

Pelancaran
DBX707 memperoleh namanya daripada jumlah output keseluruhan enjin V8 4.0 liter turbo berkembar…