Sebanyak 499 unit sahaja yang akan diproduksikan, di mana 300 terdiri daripada model coupe dan 199 lagi merupakan model convertible Volante.
Untuk versi penamat ini, Aston Martin membawakan beberapa perubahan seperti splitter hadapan yang lebih menonjol, rekaan bonet baharu dengan liang dan sirip pengudaraan, aksen gentian karbon serta komponen diffuser belakang yang telah direka semula.

Kesemua unit dipasangkan dengan rim bersaiz 21 inci yang didatangkan dengan kemasan Satin Silver, Satin Black atau Satin Black with Diamond Turned.
Memastikan supercar ini melekat atas jalan raya, Aston Martin telah memasang tayar Pirelli P Zero bersaiz 265/35R21 di depan dan 305/30R21 di bahagian belakang.
Dari segi kuasa, Aston Martin DBS 770 Ultimate ini didatangkan dengan enjin V12 5.2 liter turbo berkembar dengan janaan kuasa 760 hp dan 900 Nm, peningkatan sebanyak 45 hp berbanding model DBS Superleggera/Volante.

Kuasa itu disalurkan kepada gandar belakang menerusi transmisi automatik ZF lapan nisbah kelajuan, dibantu dengan pembeza gelincir terhad (LSD) mekanikal.
Menurut Aston Martin, peningkatan tersebut disumbangkan oleh pengunaan sistem laluan udara dan pencucuhan yang telah diubahsuai, serta tekanan boost turbo yang dinaikkan sebanyak tujuh peratus.
Selain itu, sistem kolum stereng serba baharu telah dimuatkan untuk menambahbaik respon stereng.

Sistem gantungan sedia ada juga telah ditala semula dengan kalibrasi serta perisian bahru untuk sistem peredam adaptif (ADS).
Aston Martin DBS 770 Ultimate dibekalkan dengan sistem brek yang terdiri daripada rotor seramik karbon 410 mm di depan, sementara rotor 360 mm di belakang dibawakan secara terus daripada model DBS standard.
Untuk ruang kabin, ia didatangkan dengan tempat duduk Sports Plus yang dibaluti kulit semi-aniline dan Alcantara, paddle shifter gentian karbon, trim unik, serta logo khas DBS 770 Ultimate.

Seperti biasa, Aston Martin turut menawarkan program penyesuaian kepada para pemilik DBS 770 Ultimate menerusi divisyen Q by Aston Martin.
Produksi Aston Martin DBS 770 Ultimate ini akan bermula pada suku pertama tahun 2023, dengan harga jualan bermula sekitar $330,000 (RM1.42 juta).
Mahu beli? Usah risau kerana buku tempahan telah pun ditutup, dan semua unit sudah pun ada pemilik masing-masing.