
Jika diimbau kembali, Honda tidak kekal lama dan keluar dari F1 selepas beberapa tahun dan kembali semula selang tahun-tahun berikutnya.
Keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor seperti perniagaan, kewangan dan prestasi perlumbaan.
Pembekal enjin dan pasukan penuh
Sepanjang sejarahnya Honda lebih banyak terlibat sebagai pembekal enjin berbanding pasukan penuh.
Honda kini berada pada era keempat di dalam F1 sejak tahun 2015 sebagai pembekal unit berkuasa (Power Unit/PU) kepada McLaren.

Hubungan dengan McLaren terhenti setakat 2017 dan selepas itu memulakan hubungan baharu bersama pasukan dimiliki Red Bull pada tahun 2018.
Beberapa tahun diperlukan untuk membangunkan unit berkuasa yang kompetitif dan musim 2021 dilihat sebagai kemuncak apabila Red Bull berjaya menyaingi pasukan Mercedes-AMG Petronas dengan rapat.
Di sebalik pelbagai kejayaan manis tahun ini, Honda pada 2 Oktober 2020 telah mengumumkan untuk keluar dari F1 sebagai pembekal unit berkuasa.
Dengan rekod cemerlang yang dicatatkan adakah Honda berubah fikiran dan kekal di dalam F1?
Jawapannya tidak. Walaupun begitu, Honda akan meninggalkan jejaknya dan bekerjasama dengan Red Bull.

Apa rancangan Honda dan Red Bulll seterusnya? Berikut kami senaraikan perjanjian di antara dua organisasi tersebut:
- Red Bull Powertrains mempunyai hak untuk menggunakan harta intelek (IP) Honda yang berkaitan dengan unit berkuasa.
- Honda akan memberikan sokongan kepada Red Bull Powertrains dalam membangunkan PU 2022 serta sokongan di litar (trackside) dan operasi perlumbaan dari Jepun pada musim 2022.
- Bermula musim 2023, Red Bull Powertrains akan mengambil tanggung jawab untuk kesemua tugas-tugas pengeluaran dan penyelenggaraan enjin Red Bull dan Scuderia AlphaTauri.
- Pekerja Honda Racing Development UK (Milton Keynes) akan menjadi kakitangan Red Bull Powertrains.
Red Bull membuat permintaan untuk menggunakan IP Honda susulan pengumuman Honda untuk keluar dari F1.
Hubungan Red Bull dan Honda masih lagi erat dan akan terus bekerjasama di dalam program pembangunan pelumba muda Red Bull Junior Team dan Honda Formula Dream Project.

Program itu dibuat bagi mempromosikan perkembangan sukan permotoran di Jepun dengan objektif utama bagi mendapatkan lebih ramai pelumba Jepun untuk beraksi di pentas tertinggi dunia.
Contoh terdekat ialah Yuki Tsunoda yang berusia 21 tahun dan berlumba untuk Scuderia Alpha Tauri.
HRC (Honda Racing Corporation)
Seperkara lagi yang menarik ialah kesemua aktiviti sukan permotoran empat roda akan berada di bawah HRC (Honda Racing Corporation).
HRC adalah satu jenama terkenal dan berjaya mencatatkan pelbagai kejayaan di dalam perlumbaan motosikal.
HRC akan bertanggung jawab terhadap kesemua poin di atas dan memberi sokongan kepada pasukan F1 Red Bull pada tahun 2022.
Selepas keluar dari F1 apa rancangan Honda seterusnya?

Honda akan memanfaatkan pengalaman, sumber manusia dan pengetahuan teknikal yang diperolehi dalam tempoh tujuh tahun lepas yang juga era hibrid bagi mencapai sasaran neutral karbon untuk syarikatnya.
Jelas bahawa industri automotif sedang mengalami perubahan besar dan berdasarkan sejarah, Honda akan kembali ke F1 selepas satu kitaran.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
