Ambil alih konsesi lebuhraya: PLUS tunggu arahan kerajaan

oleh Mohamad Hanif|

Mengikut laporan daripada Berita Harian, PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menunggu arahan kerajaan mengenai kemungkinan pengambilalihan seterusnya lebuh raya terbesar Malaysia, yang merangkumi laluan sepanjang 1,200 kilometer.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, langkah pengambilalihan adalah hak prerogatif kerajaan dan pihaknya perlu menunggu tawaran daripada kerajaan.

“Kami adalah syarikat konsesi dan menandatangani perjanjian dengan kerajaan. Sekiranya kerajaan mahu mengubahnya, kami akan menilai perkara terbabit mengikut perjanjian.

“Buat masa ini, kami hanya perlu menunggu apa yang akan ditawarkan oleh kerajaan dalam perkara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kerjasama antara PLUS dan Microsoft Malaysia di sini, hari ini.

PLUS ketika ini mengendalikan Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH), Lebuh Raya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuh Raya Lintasan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE) dan Jambatan Pulau Pinang.

Selain itu, syarikat itu turut mengendalikan 24 kawasan rehat dan rawat (R&R), 26 hentian sebelah dan empat restoran jejantas yang dilengkapi pelbagai kemudahan untuk pengguna lebuh raya.
 


Dalam laporan sebelum ini, Khazanah berkata, ia menyerahkan kepada PLUS untuk mengendalikan perbincangan mengenai cadangan pengambilalihan lebuh raya bertol oleh kerajaan.

Pada Sabtu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan mengenai cadangan pengambilalihan empat lebuh raya utama membabitkan nilai RM6.2 bilion untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya dan merealisasikan janji Pakatan Harapan (PH).

Empat lebuh raya terbabit adalah Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) pada nilai RM2.47 bilion, Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT) (RM1.984 bilion), Lebuh Raya Shah Alam Sdn Bhd (KESAS) (RM1,377 bilion) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) (RM369 juta).

Malah, kerajaan turut menyuarakan hasrat untuk mengambil alih konsesi lebuh raya lain sekiranya pengambilalihan empat lebuh raya yang diumumkan sebelum ini berjalan lancar.

Sumber: Berita Harian

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) muncul pemenang Program Pengurusan Risiko Terbaik pada Anugerah…
Berita Domestik
Pengadu menggunakan kad TnG nombor siri 32466xxxxx dengan baki sifar ketika memasuki lebuhraya…
Berita Domestik
UEM Edgenta, anak syarikat UEM Group hari ini telah memperkenalkan empat buah jentera mekanisasi…