Altis 2009 setengah juta km dari Kerteh - Pemilik kongsi apa yang rosak dan diganti

oleh HEZERI SAMSURI|
Toyota memang jenama yang dipercayai di seluruh dunia sebagai pengeluar kenderaan yang lasak.

Kali ini, sahabat Careta dari Kerteh, Mohd Hussain atau lebih dikenali sebagai Cin, berkongsi pengalaman beliau dengan Toyota Corolla Altis 1.8L G-spec yang dibeli baharu oleh beliau dalam tahun 2009 dan telah genap jumlah perbatuan 500,000 km dua hari lalu.
ALTIS 500K KM ODOMETER

 

Di bawah ialah senarai komponen yang telah diganti oleh Cin sepanjang usia Altis beliau yang masih digunakan sehingga sekarang.

  1. Galas roda (wheel bearing) depan dan belakang sudah ditukar sebanyak dua kali (RM550 sekali tukar).
  2. Sistem pendingin hawa ditambah gas penyejuk sebanyak satu kali dengan kos RM90.
  3. Lengan "wishbone" hadapan ditukar kiri dan kanan (RM220 untuk kedua-duanya).
  4. Alternator atau pengulangalik ditukar satu kali (RM800).
  5. Komponen sistem injap VVTi ditukar satu kali (RM450).
  6. Penyerap hentak ditukar sebanyak empat kali dengan kos keseluruhan RM6,000.
  7. Kipas penyejuk radiator -dua kali ditukar dengan kos RM300 sekali.
  8. Pendakap (mounting) enjin ditukar sekali dengan kos RM1,400.
  9. Penegang talisawat pemasa (timing chain tensioner) ditukar sekali (RM300).
  10. Motor penghidup (starter) dibaiki dengan kos RM130.

 

 

Sistem transmisi untuk Altis milik Cin ini masih beroperasi dengan baik tetapi menurut beliau, ATF atau "minyak gearbox" itu ditukar berkala mengikut jadual.

Sama juga dengan sesendal bahagian sistem gantungan yang masih kekal sama kerana Cin berpendapat ia masih baik.

Cin juga mengaku beliau tidak menghantar Toyota ini ke pusat servis selepas tamat tempoh waranti tetapi beliau membaikinya sendiri dengan bantuan rakan dari Kelab Toyota Land Cruiser Prado beliau, Saifudin.

Alatganti pula dibeli dari kedai-kedai alatganti di sekitar kawasan Kerteh dan beliau tidak membeli sebarang alatganti terpakai.

"Dan saya cuma menggunakan pelincir enjin sintetik sepenuhnya," sambung Cin.

 

 

"Semua baharu, mudah untuk kita jangka hayatnya nanti," terang juruteknik syarikat carigali petroleum itu.

Senarai dan informasi yang diberikan oleh Cin untuk Altisnya yang sudah berusia 13 tahun itu mungkin tidak selengkap pusat servis rasmi tetapi sudah cukup untuk anda membuat anggaran kos pembaikan jika berminat untuk mencari Toyota Corolla Altis terpakai.

Hasil carian Careta menggunakan Mudah.my, harga Corolla Altis 1.8L G-spec tahun 2009 seperti milik Cin ini adalah sekitar RM26,000 sehingga RM39,800.

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Harga rasmi GR Corolla bagi pasaran Thailand ialah 3,949,000 baht bersamaan RM500,352! Model itu…
Berita Global
  Bahagian depan mengingatkan kepada Prius baharu dan dari tepi tampil dengan garisan tajam dan…
Berita Global
Yuji Fujiwara, Ketua Pereka Projek, Simon Humphries, Pengurus Besar Kanan, Reka Bentuk, Satoki…