Alexander Nanta - Kerajaan belum berhasrat mansuhkan tol Gombak, Karak

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kerajaan masih belum berhasrat untuk memansuhkan tol di Gombak dan Karak sebagai langkah mengurangkan kesesakan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemansuhan dua tol tersebut akan menyebabkan beban kewangan kepada kerajaan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Buat masa sekarang kita tiada hasrat mansuhkan tol terbabit kerana kena faham kita memerlukan kewangan untuk buat penyelenggaraan demi keselamatan pengguna.

"Jika kurang dana nanti, kita risau tidak dapat jalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sebahagian Seksyen 5A Lingkaran Tengah Utama (LTU): Raub Bypass di pada Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Zulkifli Yaacob.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin menggesa kerajaan memansuhkan tol di Gombak dan Karak sebagai usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pengguna LPT.

Tuan Ibrahim berkata, langkah itu penting mengambil kira kewujudan empat tol yang terpaksa dilalui pengguna LPT menuju Pantai Timur iaitu Gombak, Bentong dan Karak serta di laluan keluar menyebabkan kesesakan yang melampau.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa mencari jalan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang meningkat.

Jelasnya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pegawai daripada KKR supaya memaklumkan kepada pihak konsesi untuk tidak melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pada waktu puncak dan musim perayaan.

"Macam tahun lepas pun menjelang Aidilfitri saya turun ke tol Gombak dan memberi arahan kepada pihak konsesi untuk tidak buat apa-apa kerja yang memerlukan jalan di tutup atau dijadikan satu lorong di masa puncak ataupun pada musim cuti perayaan.

"Ini kerana ia akan memberi masalah kesesakan jalan raya. Bagaimanapun kerja-kerja ini perlu dibuat cuma carilah masa lain yang lebih sesuai," jelasnya.

Sementara itu, mengulas cadangan membina hentian rehat dan rawat (R&R) di LTU di Bentong-Raub, Alexander memberitahu perkara tersebut telah dibangkitkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

"Memang ia dalam perancangan kami untuk buat R&R di Pahang dan kertas cadangan sudah dihantar oleh kerajaan negeri kepada pihak kementerian.

"Ia dalam proses penelitian dan sudah tentu ada keperluan," ujarnya.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Cadangan untuk menghapuskan tol dilihat sukar untuk dilaksanakan kerana ia akan memberi implikasi…
Berita Domestik
Namun, Menteri Kerja Raya, Baru Bian tidak menyedari perancangan baharu kerajaan untuk mengambil…