Air France, JAL antara yang berminat beli saham MAS

oleh Mohamad Hanif|
Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa dilaporkan berminat untuk memperoleh pegangan di dalam syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines System (MAS).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Antara yang disenaraikan termasuklah Air France-KLM yang berminat untuk memegang sehingga 49 peratus kepentingan, manakala Japan Airlines (JAL) mensasarkan 25 peratus pegangan. 

AirAsia Group Bhd dan Malindo Air, unit domestik Lion Air, juga sudah menghantar cadangan, kata sumber terbabit.

“Bidaan daripada syarikat penerbangan asing adalah lebih komprehensif dan strategik, kerana kedua-duanya merancang untuk memanfaatkan lokasi strategik Malaysia bagi operasi masing-masing,” kata salah seorang sumber.

Kerajaan sedang mencari rakan strategik bagi Malaysia Airlines, yang berdepan masalah pulih daripada dua tragedi iaitu kehilangan misteri pesawat MH370 dan nahas MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine.

Pada 2014, ia dijadikan syarikat persendirian oleh Khazanah Nasional Bhd, yang membayar RM1.4 bilion untuk mendapatkan 30 peratus saham belum dimiliki dana kekayaan kerajaan itu.

Sumber enggan dikenali kerana perbincangan terbabit adalah sulit.

Wakil Air France-KLM, Japan Airlines (JAL), AirAsia dan Malindo tidak memberikan maklum balas segera bagi mendapatkan kenyataan.

 


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam berkata lima cadangan sudah diterima sebagai sebahagian kajian yang bermula tahun lalu, namun enggan menamakan pihak terbabit.

Malaysia Airlines tahun lalu memeterai perjanjian usaha sama dengan JAL, bagi penerbangan antara Malaysia dan Jepun, yang dikatakan oleh JAL akan dikembangkan pada masa akan datang bagi meliputi penerbangan Amerika Syarikat (AS).

Malaysia Airlines dan JAL kedua-duanya adalah anggota pakatan penerbangan oneworld, manakala Air France-KLM adalah anggota pakatan pesaing, SkyTeam.

Khazanah, yang tahun lalu melantik Morgan Stanley untuk menasihatkan potensi opsyen bagi syarikat penerbangan itu berkata ia sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan.

“Walaupun terdapat beberapa cadangan berhubung perkara ini, semakan terhadap opsyen yang ada masih berjalan,” kata Khazanah dalam satu kenyataan.

Sumber berkata, Air France-KLM mengemukakan cadangan untuk menubuhkan hab perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di Malaysia, manakala JAL menawarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau, termasuk bagi penerbangan tambang rendah.

“Satu penyelesaian antarabangsa mungkin lebih baik dalam situasi ini kerana AirAsia akan mempunyai kebimbangan berhubung persaingan,” kata salah seorang sumber.

“Ia masih lagi berjalan, namun masih lagi berkisar kepada potensi sebuah hab besar di Asia Tenggara dan adalah jelas syarikat penerbangan antarabangsa melihat nilai dalam Malaysia Airlines disebabkan ini,” kata sumber itu.

Sumber: Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Saya ada memberi cadangan kepada MAS supaya penumpang terjejas perlulah diberikan sedikit layanan…
Berita Global
Data penerbangan menunjukkan MH122 dalam perjalanan dari Sydney ke Kuala Lumpur, dan berlepas dari…
Berita Domestik
Menurut laporan FMT, syarikat itu telah memfailkan saman terhadap AirAsia tahun lalu, mendakwa…