8 Teknologi automotif terpenting sejak lebih 25tahun lalu! (Bahagian Pertama)

oleh SALINA JALIL|
Sejak dari tahun 1991 sehingga sekarang tanpa kita sedar sudah ada beberapa teknologi yang sebenarnya telah mengubah industri automotif. Di sini kami senaraikan (bahagian pertama) lapan teknologi terpenting semenjak suku abad lalu yang telah memajukan sistem pemanduan, keselamatan dan hiburan di dalam sesebuah kereta. Kita bermula dari teknologi yang kurang ke penting, ke yang terpenting.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
pic

 

8. Sistem kawalan  daya kilas vektor elektronik dengan gear kebezaan  (Electronically Controlled Torque Vectoring Differential), 1996.

 

Mitsubishi merupakan salah sebuah pengeluar kereta pertama di dalam mengeluarkan kereta yang dilengkapi dengan gear kebezaan (differential) kawalan elektronik.

Sistem itu yang diberi nama Active Yaw Control digunakan pada model prestasi tinggi mereka Mitsubishi Evolution di akhir tahun 90an. Sistem itu boleh mengunci gear kebezaan belakang untuk membolehkan kereta dikemudi dengan stabil di selekoh.

Sekarang pula dengan kemajuan teknologi elektronik yang digabungkan dengan sistem mekanikal, kereta-kereta berprestasi tinggi juga dilengkapi dengan sistem gear kebezaan aktif (active differentials) yang membolehkan daya kilas dihantar pada mana-mana roda jika ketidakstabilan dikesan.

Model pacuan 4 roda SUV dan trak juga tidak ketinggalan di dalam menggunakan teknologi ini untuk digunakan di laluan lasak, contohnya Land Rover LR4 yang dilengkapi sistem gear kebezaan aktif mampu mengunci sistem gear kebezaannya untuk bergerak di laluan berbatu.

 

 

7. Lampu hadapan teknologi tinggi, 1992

 

Sejak berdekad-dekad yang lepas, mentol atau komponen lampu yang lain boleh dikatakan mudah didapati di mana-mana kedai alat ganti kereta. Semenjak 90an, kejuruteraan lampu semakin maju.

Pada tahun 1992, lampu-lampu HID (High Intensity Discharge) mula digunakan oleh kebanyakan kereta-kereta Eropah termasuk kereta mewah Mercedes Benz. Sejak dari itu teknologi lampu semakin maju dan persaingan antara teknologi telah bermula.

Pada awal kurun ke 21, lampu-lampu LED (light-emitting diode) pula mula menampakkan diri. LED disukai kerana saiznya yang kecil, tidak menggunakan banyak tenaga dan mudah disesuaikan dengan bentuk lampu, yang memberikan kelebihan kepada pereka bentuk kereta.

Pada masa hadapan, teknologi lampu akan terus maju, pembuat kereta di German sekarang sedang memajukan teknologi lampu dengan menggunakan teknologi laser. Laser mampu memberikan kecerahan 1000 kali lebih daripada LED tetapi dengan menggunakan tenaga yang jauh lebih rendah.

 

 

6. Kunci pintar, 1998.

 

Bagi yang telah biasa dengan kereta yang menggunakan 'keyless' sudah tentu akan merasa janggal di waktu menghidupkan enjin kereta-kereta lama yang tidak menggunakan teknologi kunci pintar. Sejak satu dekad yang lalu, kunci pintar telah memudahkan pemandu masuk dan menghidupkan enjin.

Kunci hanya perlu diletakkan di dalam poket, pintu akan tidak terkunci apabila pemegang pintu dipegang, duduk sambil menekan brek dan suis penghidup enjin ditekan, enjin menderum merupakan kemudahan standard yang ada pada kereta-kereta sekarang.

Pada tahun 1998, Mercedes-Benz merupakan pengeluar kereta pertama yang menggunakan teknologi ini, bermula dengan kunci pintar bersaiz kad kredit, sehinggalah sehingga sekarang yang saiznya hampir dengan saiz pemetik api. 

 

 

5. Transmisi dwi klac (Dual Clutch Transmission), 2003.

 

Transmisi dwi klac sebenarnya mempunyai tahap kecekapan yang lebih baik daripada manual tetapi memberikan pemanduan selesa seperti kereta bertransmisi automatik.

Sistem dwi klac 6-kelajuan beroperasi dengan menggunakan satu klac untuk gear 1,2 dan 3 manakala satu klac lagi untuk gear 2,4 dan 6.

Sistem dua klac telah digunakan oleh banyak kereta lumba sejak tahun 80-an lagi tetapi Volkswagen yang menjadi popular dengan sistem ini kerana menggunakannya pada model-model biasa mereka. Sekarang hampir kesemua pengeluar kereta Eropah menggunakannya di dalam pengeluaran model-model penting mereka.

 

 

4. OBD 2 (On-Board Diagnostics 2), 1996.

 

OBD 2 merupakan kemajuan sistem suntikan bahanapi kawalan elektronik yang telah digunakan semenjak dua dekad yang lepas. Ia mampu memeriksa atau mengesan ketidakstabilan sistem kawalan operasi dan memberikan ketepatan pengurusan angin dan bahanapi di dalam sesebuah enjin bersuntikan bahanapi kawalan elektronik.

Semenjak OBD 2 diperkenalkan dua dekad yang lepas, prestasi enjin semakin meningkat tetapi pada masa yang sama dapat mengawal pengeluaran asap ekzos. OBD 2 juga mewujudkan pelbagai alatan elektronik tambahan yang dijual untuk menambahkan prestasi enjin. 

 

 

3. Kemaraan teknologi turbo, 2008.

 

Turbo mula digunakan pada kereta produksi pada tahun 1960an. Pemampat udara yang diputarkan oleh gas ekzos mampu memaksa udara untuk masuk ke kebuk pembakaran.Apabila digabungkan dengan campuran bahanapi yang lebih banyak, ia mampu memberikan lebih kuasa.

Turbo yang terkenal sebagai alat untuk menambahkan kuasa tanpa menambahkan isipadu enjin telah digabungkan dengan teknologi suntikan terus bahanapi (direct injection) juga mampu untuk mengurangkan tahap pencemaran udara.

Walaupun turbo yang ada pada kereta sekarang bersaiz lebih kecil, ia telah dinaiktaraf dengan pelbagai teknologi termasuk menggunakan skrol kembar (twin-scroll) bagi membolehkan enjin yang menggunakannya mempunyai daya kilas dan kuasa yang kuat pada mana-mana julat putaran enjin.

Bahan yang digunakan juga telah dinaiktaraf dan membolehkannya mempunyai jangka hayat yang lebih panjang.

 

2. Sistem pengawasan tekanan udara tayar, 2000.

 

Bagi menambahkan tahap keselamatan semasa pemanduan, pengawasan tekanan tayar telah menjadi kewajipan bagi kereta yang dikeluarkan di Amerika Syarikat, manakala di Malaysia, kereta-kereta dari Eropah merupakan kereta-kereta majoriti yang dilengkapi dengan sistem ini.

Sistem pengawasan tekanan tayar mula digunakan pada kereta prestasi tinggi Porsche 959 pada tahun 1980an. Pada asalnya sistem ini hanya mampu mengesan kekurangan tekanan tayar apabila kereta telah bergerak, ini disebabkan sistem ini menggunakan sensor kelajuan putaran roda.

Penggunaan sensor kelajuan sebagai pengesan tekanan tayar menyebabkan pengesanan menjadi lebih lambat dan membahayakan pemandu dan penumpang. Dengan kemajuan teknologi elektronik, sistem pengawasan tekanan tayar telah menggunakan sensor yang diletakkan di dalam tayar dan membolehkan tekanan tayar dikesan dengan lebih tepat. 

 

 

1. Kamera undur, 2002.

 

Sebelum tahun 2002, hanya cermin pandang belakang dan sisi sahaja yang merupakan kepercayaan pemandu untuk melihat ke arah belakang dan sisi semasa pemanduan.

Pada tahun 2002, Infiniti melancarkan model Q45 yang dilengkapi dengan kamera undur. Sedekad selepas itu Nissan memperkenalkan kamera undur terbaru mereka yang diberi nama Around View Monitor.

Ia menggunakan lebih banyak kamera yang diletakkan di sekeliling kereta untuk mengeluarkan gambaran di sekeliling kereta. Sekarang hampir kesemua kereta dilengkapkan dengan kamera pandang belakang, ia juga dijual di kedai aksesori kereta dengan pelbagai jenama dengan harga yang berpatutan.

 

Nantikan bahagian kedua peralihan teknologi yang banyak membantu pemandu-pemandu sekarang tetapi pembuli jalanan muncul bagaikan cendawan!

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut Brian Gu, Presiden dan Naib Pengerusi untuk Xpeng Motors, teknologi pemanduan pintar (smart…
Berita Global
Ia berikutan kerana permintaan elektrik di seluruh dunia daripada penghawa dingin kini kian bakal…
Berita Global
Aloi amorfus itu mengurangkan kehilangan tenaga sebanyak 90 peratus atau lebih bila dibandingkan…