Volkswagen ID.7, nampak besar tapi cemerlang dari segi aerodinamik

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen ID.7 2023
Volkswagen ID.7 2023
Semasa Volkswagen memperkenalkan model elektrik ID.7, saiznya nampak besar dan dominan. Hairan sungguh, mengapa kereta elektrik dibuat sebegini.

ID.7 adalah model elektrik pertama VW dalam kelas sederhana atas dan di sebalik badan yang besar, kereta ini mempunyai jarak pemanduan sehingga 700 kilometer (km).

Dua kali hairan bagaimana kereta elektrik dengan fizikal begitu mampu dipandu jauh.

Badan besar ID.7 sebenarnya menyimpan prestasi aerodinamik yang sangat cemerlang dengan nillai pekali seretan (Cd) 0.23.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Volkswagen ID.7 2023

 

Walaupun besar dan gempal, ID.7 direka dengan bentuk asas yang mesra aerodinamik dan selain Cd rendah, bahagian depan (frontal area) kereta berukuran 2.46 meter persegi.

Bahagian depan mempengaruhi ciri aerodinamik dan pakej pada ID.7 adalah hasil kerjasama rapat di antara jabatan Reka Bentuk dan Pembangunan VW.

Untuk sebuah kereta seperti ID.7, bentuk badan mewakili 50 peratus nilai Cd, rim dan tayar sebanyak 30 peratus dan 10 peratus pada bahagian bawah lantai.

Bukaan atau liang saluran udara kepada radiator menyumbang sebanyak 10 peratus.

 

Volkswagen ID.7 2023

 

Di pasaran sekarang sudah ada beberapa model ID. seperti ID.3, ID.4, ID.5 dan sebagainya dan daripada sejumlah model tersebut, ID.7 paling aerodinamik!

Bayangkan untuk sebuah kereta dengan ukuran hampir lima meter, ID.7 dinobatkan sebagai juara aerodinamik.

Menurut pereka VW, Daniel Scharfschwerdt, ciri aerodinamik diberi lebih perhatian semasa rekaan ID.7 dibuat berbanding model lain.

Menurut beliau lagi, ciri-ciri tersebut boleh dilihat pada bucu depan yang rendah, peralihan aliran ke dalam bonet dan bentuk cermin.

 

Volkswagen ID.7 2023

 

Lagi komponen atau paling mudah dilihat ialah bentuk bumbung ala coupé dan bahagian bucu belakang yang tirus.

Dua kompenen yang dinyatakan Daniel Scharfschwerdt itu identiti mudah untuk menentukan ciri-ciri aerodinamik sesebuah kereta tidak kira saiz atau segmen.

Biasa tak menjenguk bawah kereta semasa servis? Bahagian bawah lantai kereta moden sekarang ini mempunyai penutup. 

Kereta lumba lebih lagi dengan permukaan rata dari depan hingga belakang.

 

Volkswagen ID.7 2023

 

Bahagian bawah lantai ID.7 pula hampir tertutup sepenuhnya dan turut membantu spoiler pada sudut bawah bampar atau di hadapan roda roda depan. 

Ciri-ciri tersebut mengalirkan udara di sekeliling roda dan di bawah kereta dengan gelora yang mininum.

Bidai atau liang udara pada sisi bampar depan menghalakan udara pada bahagian depan kereta juga pada kadar kehilangan yang minimum.

Satu lagi ciri ialah alang sisi atau bingkai bawah yang mengembang dan menghalang udara dari mengalir ke bawah kereta dan melindungi tayar belakang daripada aliran udara.

 

Volkswagen ID.7 2023

 

Komponen seperti spoiler kecil dan kemasan panel juga membantu aliran udara ke bahagian bawah kereta.

Banyak lagi komponen diberi perhatian sebagai contoh rekaan rim yang aerodinamik dan memainkan peranan penting pada kereta elektrik.

Aliran udara pada bahagian depan dikawal menggunakan bidai elektronik bagi mengurangkan seretan dan hanya dibuka apabila penyejukan unit kuasa dan bateri diperlukan.

Pada bahagian belakang, kecekapan aerodinamik dicapai melalui bentuk pintu but dan reka bentuk peresap dan bucu pemisah sisi pada hujung lampu belakang.

 

Volkswagen ID.7 2023

 

Satu fakta menarik yang dikongsi jurutera projek yang bertanggungjawab tentang aerodinamik ID.7, Stephan Lansmann ialah tempoh maya yang diambil.

Dalam tahun pertama pembangunan, kerja-kerja yang dibuat hanya secara maya!

Pereka VW membekalkan data reka bentuk berbantu komputer (CAD) dan ribuan pemproses mengira nilai aliran udara termasuk hendal pintu dan cermin sisi.

Selepas rekaan stabil barulah beralih ke terowong angin. 

 

Volkswagen ID.7 2023

 

VW menggunakan model tanah liat mengikut saiz sama seperti ID.7 di dalam terowong angin.

Proses tersebut juga melibatkan komponen cetakan tiga dimensi sebagai bahan ujian dan hasil keseluruhan ialah nilai Cd 0.23 untuk sebuah kereta yang besar.

VW ID.7 ibarat objek atau sifir aerodinamik yang diterjemah dalam bentuk realiti! 

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Ucapkan selamat datang kepada Volkswagen ID.7 Tourer 2024, sebuah wagon berkuasa elektrik yang…