Warna biru yang digunakan nampak lembut untuk sebuah Lamborghini ditambah pula warna kelabu pada bahagian bawah kereta.
Warna Azzuro Flake dibuat khas dan menyamai Miura Roadster dengan emping yang cantik dan boleh dilihat dari jauh.
Sisi bawah kereta pula dalam warna Grigio Liqueo (kelabu metalik lembut) dengan jaluran Nero Aldebaran (hitam solid) dari depan hingga belakang.
Skirt sisi, pemisah depan dan peresap belakang dalam kemasan gentian karbon terdedah.
Bumbung dan penutup enjin gentian karbon pula diwarnakan hitam sebagai tanda Miura Roadster asal tidak berbumbung.
Saluran udara warna hitam dan riasan Nero Aldebaran pada bonet adalah imbasan kepada skup bonet Miura warna hitam.
Muncung ekzos warna hitam kusam dan roda Ultimae dalam warna perak kilat dengan angkup brek hitam adalah salinan roda Miura berwarna perak.
Bahagian luar unit ini dibuat ala Miura Roadster era baharu dan kembar berlainan zaman.
Pada bahagian dalam, Ultimae ini dibuat eksklusif seperti Miura Roadster.
Gaya balutan kerusi kulit, kemasan termasuk papan pemuka dan konsol tengah semuanya diilhamkan dari Miura Roadster.
Kulit yang digunakan berwarna Bianco Leda (putih) dengan Nero Aldebaran pada sekeliling penyandar kepala.
Papan pemuka dibalut Alcantara Nero Ade (kelabu gelap) dan Bianco Leda dan terpampang logo Miura dan turut diulang pada tepi kereta.
Aventador dengan logo Miura, memang ada kelas!
Miura P400 Roadster yang dijadikan ilham kepada Aventador V12 ini mempunyai kisah tersendiri.
Ianya adalah unit one-off yang dibawa ke reruai Carrozzeria Bertone semasa Pameran Kenderaan Brussels pada April 1968.
Unit itu diberi warna Lamè Sky Blue Acrilico yang cantik dan berkilau dan dalaman berwarna Pelle Bianco (putih) dan karpet merah.
Ianya tampil istimewa dengan garisan bumbung rendah, liang kemasukan udara sisi besar dan cermin depan yang condong ke bawah dan kesemua cermin ditanggalkan.
Miura itu menerima sambutan positif namun tidak pernah dikeluarkan.
Selain Brussels, kereta ini juga dibawa ke Pameran Geneva 1968 dan selepas dipandu uji di Sant’Agata Bolognese ianya dipulangkan kepada Bertone.
Kisahnya bersambung apabila dijual kepada International Lead and Zinc Research Organization (ILZRO) dan sejumlah komponen diganti dengan zink dan logam.
Warna juga bertukar kepada hijau zaitun dan dalaman hijau dan digunakan sebagai kereta pameran dan dinamakan sebagai ZN 75.
ZN 75 bertukar tangan beberapa kali dan akhirnya dibaik pulih pada 2008 seperti keadaaan asal semasa di bawa ke pameran di Brussels.
Legasi Miura P400 Roadster terus bersambung pada Aventador LP 780-4 Ultimae terakhir.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
Kredit foto: Cave Lazzareschi / Alvise Lazzareschi