Sebagaimana yang dilaporkan oleh Abdul Latif Jameel Motors, pengedar sah kenderaan Toyota di Arab Saudi sejak 1955 lagi, produksi model FJ Cruiser tersebut akan dihentikan sepenuhnya pada Disember 2022.
Toyota FJ Cruiser Final Edition 2023 hanya akan ditawarkan sebanyak 1,000 unit sahaja, dengan membawakan reka bentuk dan paras rupa yang hampir sama dengan model Final Edition yang dilancarkan di Jepun pada tahun 2017.
Ciri unik termasuklah penawaran warna tona tunggal untuk bahagian luar dan dalam, serta beberapa komponen yang dihitamkan seperti jeriji hadapan, bampar, cermin sisi, pemegang pintu dan pelindung tayar simpanan.
Ia juga bakal mendapat lencana dengan nombor siri tersendiri.
Dari segi kuasa, FJ Cruiser Final Edition 2023 ini tampil dengan enjin V6 4.0 liter petrol yang mampu menjana kuasa 270 hp dan 380 Nm, lengkap dengan ciri kawalan seperti Active Traction Control (A-TRAC), Crawl Control, kawalan kestabilan kenderaan serta diff belakang kawalan elektronik.
Harga jualan belum didedahkan secara rasmi. Kesemua 1,000 unit akan diedarkan menjelang suku keempat 2022.