Terima kasih Achim Anscheidt untuk rekaan hebat Bugatti, era yang sentiasa dikenang!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Achim Anscheidt
Achim Anscheidt
Berkhidmat dengan Bugatti boleh diibaratkan sebagai di antara kemuncak kerjaya di dalam dunia automotif.

Syarikat dari Perancis itu mempunyai warisan hebat dan dipengaruhi oleh pemikiran dan citarasa pengasasnya, Ettore Bugatti.

Episod Bugatti yang bermula dari Veyron berjaya meletakkan syarikat di aras tinggi. Model-model seterusnya pula sentiasa memikat dan tampil tersendiri.

Episod kegemilangan itu disumbang oleh individu-individu hebat dan salah seorang yang memainkan peranan penting ialah Pengarah Reka Bentuk Bugatti, Achim Anscheidt.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Achim Anscheidt

 

Beliau sebenarnya baru sahaja bersara selepas 19 tahun berkhidmat. 

Anscheidt bagaimanapun masih lagi bersama Bugatti Rimac dan bertugas sebagai penasihat kanan kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Mate Rimac.

Bugatti dalam perancangan untuk memperkenalkan pengganti Chiron dengan rangkaian kuasa hibrid.

 

Lakaran Bugatti

 

Bekerja dengan syarikat hebat, Anscheidt sendiri mempunyai latar belakang menarik. Beliau adalah anak kepada juara tiga kali motosikal dunia, Hans-Georg Anscheidt.

Ketika berusia di awal 20-an dan sebelum memulakan kerjaya di dalam reka bentuk kereta, beliau adalah penunggang lagak ngeri motosikal!

Beliau membesar dalam persekitaran dunia permotoran dan mempunyai bakat semula jadi dalam seni dan lukisan perspektif.

 

Bugatti Chiron

 

Bakat dan kebolehan yang ada diasah di ArtCenter College of Design, Pasadena dan beliau tamat belajar pada 1993.

Anscheidt memulakan kerjaya sebagai pereka muda di Porsche Design Weissach.

Tiga tahun kemudian beliau dipilih untuk mengetuai operasi reka bentuk termaju Volkswagen Group di Barcelona dan Berlin.

 

Bugatti Divo

 

Pada masa itu Bugatti berada di bawah pemilikan Volkswagen Group. Tahun 2004 menyaksikan Anscheidt dilantik sebagai Pengarah Reka Bentuk Buggati.

Reka bentuk Veyron secara amnya sudah ditetapkan namun memerlukan beberapa kerja lanjutan pada kadar segera.

Melalui bimbingan Anscheidt, Veyron Grand Sport Vitesse dan Veyron Super Sport menjadi ikon prestasi. 

 

Bugatti Galibier Showcar

 

Model seperti Veyron Edition Hermès dan Legend Editions pula menjadi pentas untuk Anscheidt dan Bugatti merintis tahap baharu karya seni buatan khas.

Jenama Bugatti melonjak naik dan begitu juga jualan syarikat.

Menurut Mate Rimac, beliau pada 2021 meminta Anscheidt untuk kekal dengan Bugatti selama tiga tahun lagi sebelum bersara.

 

Bugatti La Voiture Noire

 

Sebuah kenderaan Bugatti mempunyai DNA yang jelas sebagai contoh gril bentuk ladam, tema duotone split dan Bugatti Line yang menjadi identiti model moden Bugatti.

Satu ciri yang begitu penting ialah DNA rekabentuk Bugatti mesti selari dengan prestasi kereta.

Falsafah Anscheidt ialah reka bentuk kereta yang benar-benar cantik dan tulen tidak sepatutnya direkayasa dulu dan direka kemudian.

 

Bugatti La Voiture Noire

 

Keperluan teknikal dan reka bentuk mesti dibangunkan pada masa yang sama dan untuk sebuah Bugatti lengkap dengan ciri aerodinamik yang unik dan keperluan termodinamik.

Sebuah kereta yang boleh dipandu sehingga lebih 400 kilometer sejam (km/j), sepuluh radiator dan enjin 8.0 liter mesti menyeimbangkan daya mendap, angkutan dan penyejukan.

Wawasan reka bentuk tersebut dibangunkan di bawah kepimpinan Anscheidt dan dikenali sebagai Form Follows Performance.

 

Bugatti Veyron Legend Ettore

 

Pereka Bugatti perlu mempunyai kefahaman kuat tentang kejuruteraan automotif yang canggih bagi mendapatkan gayaan menang-menang bersama jurutera Bugatti.

Satu pegangan Ettore Bugatti dan Jean Bugatti ialah setiap komponen boleh berdiri dengan sendiri dan menjadi contoh reka bentuk yang cemerlang.

Ungkapan Ettore yang popular ialah "Nothing is too beautiful". Selain itu, banyak hasil kerja Anscheidt yang boleh dilihat namun sejumlah lagi kekal di sebalik tabir.

 

Bugatti Type 57 SC Atlantic

 

Di antaranya Grand Tourisme empat pintu yang dikenali sebagai Galibier pada tahun 2019.

Sebuah lagi ialah coupé dengan enjin V8 pada tahun 2015 yang diilhamkan dari Type 57 SC Atlantic dan kedua-duanya kekal sebagai konsep.

Pengganti Anscheidt ialah seorang lagi pereka hebat dan aktif di media sosial iaitu Frank Heyl. 

 

Achim Anscheidt dan Frank Heyl

 

Beliau lahir pada 1979 dan graduan Royal College of Art London dan berkhidmat bersama beberapa pengeluar sebelum bekerjaya di Bugatti pada 2008.

Heyl dilantik sebagai Ketua Pereka Luaran pada 2014 dan dinaikkan pangkat kepada Timbalan Pengarah Reka Bentuk pada 2019.

Beliau terlibat dalam reka bentuk model ikonik seperti Veyron Supersport, Vision Gran Turismo, Chiron dan Divo.

 

Bugatti Type 46 Superprofileé dan Bugatti Profileé

 

Satu khabar berita untuk bakal pembeli dan pengumpul Bugatti, model pengganti Chiron sedang dalam proses reka bentuk dan sudah dua tahun berjalan.

Model itu akan diperkenalkan pada 2024 dan dilancarkan pada 2026.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Lagi bacaan menarik: Ini 6 model terpilih Bugatti Veyron, satu daripada kereta terhebat di dunia!

 

Bugatti Veyron Supersport