Ini 6 model terpilih Bugatti Veyron, satu daripada kereta terhebat di dunia!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Bugatti Veyron 16.4 Super Sport
Bugatti Veyron 16.4 Super Sport
Bugatti Veyron adalah kereta sport hiper pertama era moden, pemecah rekod dunia dan ikon reka bentuk automotif.

Veyron sememangnya kereta luar biasa dan mencatatkan pelbagai rekod sejak dikeluarkan 15 tahun lalu.

Selain kereta sport hiper pertama di dunia, Veyron 16.4 menghasilkan kuasa 1,001 PS, kelajuan mencecah 407 km/j dan daya pecutan 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 2.5 saat.

Dalam tempoh lebih sepuluh tahun, 300 Veyron 16.4 coupé dan 150 roadster termasuk model istimewa dan khas dikeluarkan di kilang Molsheim, Perancis. 

Pengarah Reka Bentuk Bugatti, Achim Anscheidt, mengimbas kembali enam model kegemarannya dan kami ringkaskan seperti berikut:
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Bugatti Veyron 16.4 Pur Sang (2007)

 

Bugatti Veyron 16.4 Pur Sang (2007)

 

Veyron Pur Sang adalah permulaan kepada pelbagai edisi khas dan program penyesuaian (customization) Bugatti.

Daripada menggunakan dua warna berlainan, Pur Sang tampil dengan dua kontra iaitu badan karbon dan aluminium.

Gabungan kedua-dua bahan ini adalah yang pertama dalam kejuruteraan automotif.

 

Bugatti Veyron 16.4 Pur Sang

 

Pur Sang tidak menggunakan warna di mana Bugatti mahu menonjolkan karbon dan aluminium itu sendiri sebagai warna badan. 

Bahagian atas dari belakang ke depan dibuat dari karbon dan tersimpan enjin W16 dan kabin untuk pemandu dan penumpang.

Bahagian sisi dibuat dari aluminium dan memantulkan cahaya serta lenggokan kontur badan Veyron.

Veyron 16.4 Pur Sang hanya terhad kepada lima unit dan habis terjual dalam masa hanya 45 minit semasa Pameran IAA di Frankfurt pada tahun 2007.

 

Bugatti Veyron 16.4 Super Sport (2010)

 

Bugatti Veyron 16.4 Super Sport

 

Model ini mencipta sejarah luar biasa sebagai kereta produksi terpantas di dunia. 

Super Sport mempunyai output 1200 PS yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.5 saat dan mencapai kelajuan tertinggi 415 km/j.

Bagaimanapun, kelajuan purata model ini semasa mencatat rekod terpantas ialah 431.072 km/j.

Kelajuan tersebut diambil kira dengan dua catatan iaitu 427.933 km/j pada pusingan pertama dan 434.211 km/j pada pusingan kedua.

Bugatti melancarkan Veyron 16.4 Super Sport di pasaran pada Julai 2010 dan lima unit edisi pertama iaitu World Record Edition habis terjual serta-merta.

 

Veyron 16.4 Grand Sport L’Or Blanc (2011)

 

Veyron 16.4 Grand Sport L’Or Blanc

 

Model ini lebih kepada objek seni yang dibangunkan dengan kerjasama Royal Porcelain Factory (KPM) di Berlin, Jerman.

Model ini tampil dengan beberapa komponen porselin berkualiti tinggi di luar dan dalam kereta dan sekali lagi mencatat rekod pertama dalam industri automotif.

Selain porselin, model ini dipersembahkan dalam skema warna abstrak yang menarik dengan L’Or Blanc bermaksud putih emas.

Hanya sebuah sahaja Grand Sport L’Or Blanc dikeluarkan.

 

Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse (2012)

 

Bugatti Veyron 16.4 Grand Sport Vitesse

 

Ini adalah model Veyron dalam bentuk bumbung targa dengan kuasa 1,200 PS.

Ini juga model yang mencatatkan rekod baharu untuk kereta berprestasi open-top dengan kelajuan 408.84 km/j pada 2013.

Vitesse edisi World Record Car (WRC) hanya dikeluarkan sebanyak lapan unit sahaja dan seperti biasa laris serta-merta.

Sebanyak 92 buah Grand Sport Vitesse dihasilkan di Molsheim dan sehingga hari ini, ia adalah satu-satunya kereta hiper Bugatti open-top pada era moden.

 

Veyron Grand Sport Venet (2012)

 

Bugatti Veyron Grand Sport Venet

 

Ini adalah satu-satunya model yang dikeluarkan dan hasil kolaborasi dengan artis Perancis iaitu Bernar Venet.

Bahagian dalam model seni ini dipengaruhi haute couture (seni fesyen tinggi) dan secara keseluruhannya sarat dengan falsafah.

Bahagian luar dihiasi formula matematik dan saintifik yang digunakan untuk kelajuan model ini sendiri dan dipersembahkan dalam warna karat.

Tema karat turut digunakan pada dalaman kereta dan ia merujuk kepada hasil kerja skuptur oleh Bernar Venet. 

Turut menghiasi bahagian dalam ialah formula yang disulam pada kulit pintu.

 

Bugatti Veyron Grand Sport Venet

 

Bernar Venet sendiri seorang yang meminati formula matematik dan teori saintifik adalah mengapa model ini dijadikan sedemikian rupa.

Pada asalnya, Achim Anscheidt tidak bersetuju dengan idea Bernar Venet untuk menggunakan tema warna gradient jingga kepada coklat seperti sebuah besi berkarat.

Minat Bernar Venet pada teori dan formula akhirnya dipersetujui dan menjadi tema baharu skuptur beroda empat ini.

 

“Les Légendes de Bugatti” – Ettore Bugatti (2014)

 

Les Légendes de Bugatti – Ettore Bugatti

 

Ini adalah koleksi model istimewa atau legenda yang mempunyai kaitan dengan sejarah Bugatti dari pengasas, ahli keluarga, individu penting, pelumba dan model istimewa.

Ada enam edisi legenda iaitu Jean-Pierre Wimille, Jean Bugatti, Meo Costantini, Rembrandt Bugatti, Black Bess dan Ettore Bugatti.

18 unit daripada enam edisi legenda ini atau tiga unit untuk sebuah edisi habis terjual dengan serta-merta. 

Model keenam dan terakhir diperkenalkan pada 2014 sebagai penghormatan kepada Ettore Bugatti, pengasas syarikat dan individu yang mempunyai citarasa tersendiri.

Model ini adalah inspirasi daripada Bugatti Type 41 Royale. 

 

Les Légendes de Bugatti – Ettore Bugatti

 

Ettore Bugatti berjaya menggabungkan legasi keluarganya yang kaya dengan nilai artistik kepada idea teknikal beliau sendiri.

Hasil kerja dan prinsip beliau boleh dilihat pada Bugatti, jenama automotif yang dikagumi dan disegani.

Veyron adalah satu lambang kejuruteraan, kesenian, kepantasan dan eksklusiviti yang digabungkan menjadi satu. Ia adalah karya hebat pada zaman sekarang.

Penulis: Muhammad Md Tajudin