Skuter elektrik ini diperkenalkan di peringkat global pada Januari yang lalu, dan pihak Yamaha Motor Co., Ltd. pada 17 Mac mengesahkan skuter elektrik E01 akan diperkenalkan secara berperingkat di Eropah, Indonesia, Jepun, Taiwan, Thailand dan Malaysia!
Skuter elektrik tersebut dibangunkan menggunakan platform Yamaha NMAX di bawah konsep “Plugged Yamaha to new era” di mana ia menawarkan praktikaliti seperti sebuah skuter berkapasiti enjin 125cc.
Di bahagian depan menempatkan sepasang lampu utama, unit lampu DRL LED yang nipis, diikuti dengan slot pengecasan pada bahagian dada skuter itu.
E01 dilengkapi rim aloi bersaiz 13 inci yang dibalut oleh tayar 110/70/13 dengan sistem brek ABS dua saluran pada roda hadapan dan belakang.
Menurut Yamaha, E01 boleh dicas dengan menggunakan cara berikut:
- wallbox AC - enam jam
- pengecasan pantas DC - satu jam
- pengecas mudah alih - 15 jam
Pek bateri berkapasiti 4.9 kWh pula membenarkan jarak gerak sehingga 80 km untuk sekali cas penuh.
Terdapat tiga mod tunggangan yang ditawarkan iaitu Eco (65 km/j), Normal (100 km/j) dan Power (105 km/j).
Skuter moden ini juga dilengkapi dengan ciri eSIM 3G/LTE serta GPS yang boleh digunakan untuk merekodkan perjalanan, dibantu dengan sistem kekunci pintar.
Setakat ini, pihak HLYM belum mengumumkan bilakah skuter elektrik E01 ini akan memasuki pasaran tempatan secara rasmi.
Difahamkan, skuter bersaiz NMAX ini bakal memiliki tanda harga sebuah Yamaha XMAX, sekitar RM25,000.