Penguasaan Tengku Djan Ley pada hari pertama nampaknya berakhir awal apabila menghadapi masalah kerosakan tayar belakang, dan keadaan ini memaksa beliau sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam dan 21 pusingan sahaja.
Freddie Ang (Telagamas Toyota) berjaya merampas kedudukan teratas mendahului William Ho di tempat kedua dan Boy Wong di tempat ketiga.
Sementara itu, Brendan Paul (Dream Chaser) dan Kenny Lee (Kegani Racing) tidak dapat meneruskan perlumbaan apabila masing-masing sekadar menghabiskan 15 dan 1 pusingan sahaja.
Beralih kepada kelas yang paling ramai pelumba (Sporting), berlaku sedikit insiden melibatkan sehingga enam buah jentera yang berjaya menghalang dominasi daripada Tom Goh (S&D Tama Motorsports) yang diperoleh sejak dari awal.
Setelah empat jentera dikeluarkan, dominasi Goh diteruskan selepas perlumbaan dimulakan kembali dengan kelebihan masa lebih daripada dua saat, di mana Haji Sutan dan Bradley Benedict bertempur untuk tempat kedua sebelum memburu Goh di hadapan.
Namun, saat-saat akhir menyaksikan kelebihan yang diperoleh Goh terhenti begitu sahaja apabila jentera Shanmuganathan Arumugam berpusing mengakibatkan safety car terpaksa mengambil alih litar buat sementara waktu.
Goh berjaya menamatkan perlumbaan dibelakang Bradley Benedict selaku juara, dan diikuti oleh Haji Sutan di tempat ketiga.
Kelas Promotional pula menyaksikan penguasaan Shukri Yahaya yang bermula dari petak keempat berjaya memintas Nabila Razali dan Wany Hasrita ketika permulaan.
Pelakon Janna Nick juga turut berusaha untuk mempertahankan penguasaan namun terpaksa beralah kepada Shukri Yahaya yang ternyata lebih pantas berbanding beliau.
Sedikit kesilapan mengakibatkan jentera Janna Nick bergesel dengan jentera Shawn Lee sehingga berpusing, mengakibatkan Syafiq Kyle tidak sempat mengelak.
Menurut Shukri Yahaya, ini merupakan kemenangan pertama beliau di dalam musim ini dan beliau amat berpuas hati dengan pencapaian yang dikecapi di Litar Batu Kawan.
Tempat kedua disandang oleh Nabil Ahmad, manakala di tempat ketiga, Shawn Lee.
Tiga pelumba gagal menamatkan perlumbaan iaitu Janna Nick, Khai Bahar dan juga Wany Hasrita.