Terbaharu, masalah yang sama turut menimpa kilang pemasangan Mercedes-Benz yang terletak di Chakan, India.
Menurut laporan, masalah tersebut bukanlah berpunca daripada kekurangan cip, sebaliknya ia diakibatkan oleh kehadiran seekor harimau bintang yang tersesat dan memasuki ke dalam fasiliti berkenaan.
Pasukan yang terdiri daripada Jabatan Perhutanan Chakan dan Wildlife SOS dikejarkan ke kilang tersebut bagi menyelamatkan harimau bintang yang malang itu, dan menemukan haiwan itu di sebalik kotak-kotak dan palet.
Menurut Wildlife SOS, proses menyelamat harimau bintang jantan berusia tiga tahun itu mengambil masa kira-kira empat jam, dan diletakkan di bawah penjagaan sementara sebelum dilepaskan ke habitat asal.
Mujur tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Organisasi itu juga turut menyebut, sebab utama kemunculan haiwan tersebut adalah kerana fasiliti tersebut dikelilingi oleh hutan, dan kilang pemasangan Mercedes-Benz itu terletak di kawasan Maharashtra, tempat yang mempunyai populasi harimau bintang yang paling padat di dunia.
Kilang Mercedes-Benz di India itu memasang pelbagai jenis model seperti C-Class, E-Class, S-Class, CLA-Class, GLA-Class, GLC-Class, GLE-Class dan GLS-Class.
Sumber: Wildlife SOS