Jenama kenderaan dari Jerman, Opel terus mencatat kerugian untuk tahun ini.
Menurut sumber Autoblog, jumlah kerugian Opel meningkat kepada RM1.7 billion dalam suku kedua tahun ini, meningkat dari RM900 juta pada suku pertama.
Ini juga bermakna syarikat kenderaan itu mengalami kerugian sebanyak RM20 juta setiap hari pada tahun 2017 ini.
Opel kini menjadi milik gergasi automotif Perancis, iaitu syarikat PSA Group (Citroen dan Peugeot) yang membelinya dari General Motors.
Opel sebenarnya tidak pernah untung sejak 16 tahun lalu kerana ia perlu mengeluarkan belanja sebanyak RM4 billion setahun untuk penyelidikan R&D bagi menghasilkan kenderaan-kenderaan kompak yang menurut piawaian kawalan asap Eropah yang semakin ketat.
Ini juga bukti bahawa General Motors, pemilik Opel langsung tidak mengendahkan pasaran lain dan hanya bergantung kepada pasaran US dan China yang mempunyai kawalan asap yang tidak begitu lengkap seperti di Eropah.
General Motor sendiri tidak begitu aktif di rantau Asia. Ini boleh dilihat sendiri dari produk-produk mereka. Isuzu, satu jenama yang kukuh, hanya mempunyai dua model bukan komersil.
Untuk PSA Group, mereka menjangkakan Opel akan mencatat keuntungan selepas tahun 2020.
Syarikat Perancis itu mempunyai pelbagai rancangan dan akan menjadikan Opel sebagai senjata mereka untuk kawasan Eropah (di luar negara Perancis).
Antara pelan perancangan Opel ialah menggunakan platform-platform baharu Peugeot/Citroen kepada Opel dan menggantikan enjin Opel kepada enjin mereka.
Ini menggugat kedudukan 7,700 pekerja Opel di dalam bidang R&D kerana hanya 800 pekerja sahaja diperlukan oleh Peugeot.
Sebenarnya, menurut sumber Careta, PSA Group mempunyai perancangan yang lengkap untuk Proton, dan ia termasuk platform serba modern, enjin-enjin yang baik khusus untuk kawasan tropika, sistem transmisi dan rekabentuk menarik untuk menjadikan Proton sebagai singa Asean.
Mungkin belum jodoh.