Nissan Serena 2.0 L S-Hybrid - Harga jualan bermula dari RM135,500

oleh Muhamad Hanif|
Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd telah melancarkan Nissan Serena 2.0L S-Hybrid secara rasmi yang hadir dengan pelbagai teknologi dan ciri pintar.

Sebagai sebuah MPV yang popular, Nissan Serena S-Hybrid menampilkan rekaan baharu yang lebih sporty serta tidak mengabaikan aspek keselamatan dan keselesaan penumpang. 

Menurut Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan berkata sehingga hari ini, lebih 1,300 tempahan telah dicatatkan membuktikan MPV ini masih menjadi pilihan yang ideal buat seisi keluarga. 
 


Menampilkan bahasa rekaan global Nissan, Nissan Serena hadir dengan ciri seperti gril hadapan V-Motion, lampu LED dwi lapisan, lampu signatur LED, rekaan bumbung terapung menampakkan ruang dalaman yang serba luas serta lampu belakang LED berbentuk S yang sinonim dengan Nissan Serena. 

Nissan juga turut menambah ciri Nissan Intelligent Mobility (NIM) bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan seperti 

  • sistem S-hybrid dengan motor ECO bagi mengawal sistem berhenti melahu dan menambah tenaga tork bagi memulakan perjalanan. 
  • Intelligent Around View Monitor (I-AVM) menampilkan kamera bantuan 360o memudahkan pengendalian kenderaan
  • Intelligent Moving Object Detection (I-MOD) mengesan objek bergerak dan memberi amaran kepada pemandu 
  • Intelligent Driver Alertness (I-DA) menyampaikan amaran ketika sistem mengesan ketidakstabilan pergerakan pemanduan. 
     


Menggunakan nadi kuasa 2.0 liter (MR20DD) dengan ciri Twin CVTC (Continuously Variable-Valve Timing Control), enjin ini menghasilkan sejumlah 150 PS dan kuasa tork sebanyak 200 Nm disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi Xtronic CVT. 

Dengan ciri Dual Arm Tensioner (DAT), ia mampu melegakan tekanan dan geseran terhadap arm belt , mengurangkan kehilangan kuasa serta meningkatkan penjimatan bahan api.

Penambahbaikan ini memberikan peningkatan sebanyak 2.8%  kepada nisbah kuasa-berat dan turut mencatatkan penjimatan bahan api terbaik di dalam kelasnya (14.2 km/l - NEDC R101), peningkatan sebanyak 13% berbanding model terdahulu. 

Ini membolehkan Nissan Serena S-Hybrid menerima status Energy Efficient Vehicle (EEV).
 

 


Penggunaan teknologi terkini pada Nissan Serena ini boleh dilihat menerusi penawaran ciri yang memberikan kemudahan kepada pengguna seperti pintu gelongsor yang boleh dibuka tanpa tangan, pintu belakang dwi-bukaan, tempat isian minyak tanpa penutup serta tujuh sambungan USB yang mampu memberikan khidmat pengecasan kepada semua penumpang apabila diperlukan. 

Manakala pada bahagian dalaman, ciri panel instrumen dengan paparan bantuan pemandu bersaiz tujuh inci membantu menyampaikan info berguna kepada pemandu ketika diperlukan. 

Terdapat juga butang bantuan mula dengan ciri Intelligent Key, sistem kawalan suhu dua zon dengan kawalan digital, serta saluran penyaman udara untuk ketiga-tiga baris menambah lagi tahap keselesaan penumpang di belakang.
 


Ruang dalaman Nissan Serena kini berdimensi lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi berbanding model sebelum ini. 

Dimensi baharu itu mampu memuatkan tujuh orang penumpang dengan selesa, ditambah dengan penawaran kerusi kapten pada baris pertama dan kedua dengan ciri sifar graviti bagi menyokong tulang belakang dan mengurangkan keletihan ketika mengharung perjalanan jauh. 

Selain itu, tempat duduk Nissan Serena boleh disusun sehingga 13 konfigurasi tempat duduk yang berbeza mengikut keperluan pengguna.

Menambah lagi ciri yang menjadi kesukaan rakyat Malaysia adalah penawaran cangkuk teh tarik bagi memudahkan pengguna menyangkut air kegemaran mereka di dalam kereta. 
 


Aspek keselamatan tidak dilupakan apabila Nissan Serena S-Hybrid ini turut didatangkan dengan ciri enam buah beg udara SRS, Vehicle Dynamic Control (VDC), Sistem kawalan cengkaman (TCS), sistem brek anti-kunci (ABS), bantuan brek (BA), pembahagian kuasa brek elektronik (EBD), bantuan mula mendaki (HSA), dan cagak ISOFIX yang ditempatkan di baris kedua. 

Nissan Serena S-Hybrid didatangkan dengan dua gred iaitu Highway Star dan gred Premium Highway Star. 

Untuk varian Highway Star, terdapat empat pilihan warna iaitu Cashmere Gold, Diamond Black, Brilliant White dan Tungsten Silver.

Manakala bagi varian premium pula hadir dengan pilihan warna dua tona iaitu Brilliant White dengan bumbung hitam, Tungsten Silver dengan bumbung hitam dan Cashmere Gold dengan bumbung Imperial Umber. 
 


Melengkapi varian Premium Highway Star ialah ciri-ciri tambahan seperti tempat duduk kulit dua tona, panel LCD 10.1 inci, alas Tray Tech-On, perakam video pemanduan (DVR), lampu bumbung LED, filem keselamatan V-Kool 4Mil, rim aloi 16 inci dengan rekaan potongan berlian serta visor pintu. 

Menurut ETCM, harga jualan Nissan Serena varian Highway Star bermula dari RM135,500 (tanpa insurans) manakala varian Premium Highway Star dijual pada harga bermula RM147,500 (tanpa insurans).

Bersempena pelancaran ini, ETCM menawarkan promosi servis penyelenggaraan selama 3 tahun atau 60,000 km atau yang mana terdahulu. 

Bagi 500 pendaftaran pertama Nissan Serena S-Hybrid yang berjaya akan menerima hadiah berupa kotak penyejuk mudah alih Terzo oleh PIAA bernilai RM500 secara percuma. 

Spesifikasi Nissan Serena S-Hybrid 2.0 L

Enjin:

  • MR20DD 2.0 liter DOHC, Twin CVCT, dengan DAT (150 PS, 200 Nm)
  • bantuan motor ECO, sistem berhenti melahu, Torque Assist
  • transmisi XTRONIC CVT dengan kawalan penukaran gear adaptif (ASC)

Sistem gantungan

  • Independent McPherson di hadapan
  • Torsion Beam Axle di belakang

Tayar

  • 195/65 R15 (varian Highway Star)
  • 205/55 R16 (varian Premium Highway Star)

Luaran

  • Lampu LED projektor dengan Auto-Levelling, lampu signatur LED
  • lampu kabus dan lampu nyalaan siang (DRL)
  • pintu gelongsor bebas tangan (kiri dan kanan)
  • pintu belakang dengan dua bukaan
  • spoiler bumbung

Dalaman

  • stereng balutan kulit
  • panel instrumen Advanced Drive Assist Display (ADAD) 7 inci
  • butang mula pandu dengan Intelligent Key
  • sistem audio dengan enam pembesar suara dan ciri sambungan Android Auto dan Apple CarPlay
  • sistem penyaman udara dua zon dengan corong penyaman udara pada baris kedua dan ketiga
  • kerusi sifar graviti pada baris pertama dan kedua sahaja
  • kerusi kapten pada baris kedua dengan perehat tangan terbina
  • tujuh ruang pengecasan USB

Keselamatan (Nissan Safety Shield)

  • enam beg udara SRS
  • Intelligent Around View Monitor (I-AVM)
  • Intelligent Moving Object Detection (I-MOD)
  • Intelligent Driver Alertness (I-DA)
  • cagak ISOFIX pada baris kedua
  • ABS, EBD, BA
  • TCS, VDC
  • bantuan mula mendaki (HSA)

Harga

  • RM135,500 varian Highway Star
  • RM147,500 varian Premium Highway Star

Add new comment

banner articles

Berita Berkenaan

Kereta
Berikut merupakan input ringkas sepanjang dua hari memandu Nissan Serena S-Hybrid serba baharu ini…
Berita Domestik
Untuk varian Premium Highway Star, perbezaan dari varian biasa adalah dari segi warna luaran dua…
Berita Domestik
  Terdapat ciri Dual Arm Tensioner (DAT) dipasangkan bagi mengurangkan masalah kehilangan kuasa…