Lagenda Nismo kini bekerja di Malaysia

oleh DIANA ISMADI|

 

Nismo? Sebut sahaja Nismo mesti semua dah terbayang-bayang Nissan GT-R.

 

Nismo sebenarnya merupakan singkatan kepada Nissan Motorsports yang merupakan penala prestasi untuk kenderaan ‘sporty’ Nissan. Selain menawarkan produk aksesori dan talaan untuk kenderaan di jalan, Nismo juga tidak asing lagi dalam menyertai perlumbaan di serata dunia seperti Super GT Japan dan World Endurance Championship (WEC).

 

 

 

Adakah anda tahu yang mantan presiden Nismo kini sedang bekerja di Malaysia? Baru-baru ini kami telah berpeluang untuk berjumpa dengan ‘legend’ ini dan beliau sempat berkongsi pengalaman beliau ketika bertugas di Nissan dan Nismo.

 

Jika dahulunya Yuichi Sanada menerajui Nismo sebagai presiden, kini beliau bertugas sebagai Penasihat Teknikal di Dream Edge, Cyberjaya.

 

Sebenarnya kami sangat kagum dengan semangat beliau untuk terus bekerja walaupun usia sudah hampir mencecah 70 tahun. Walaupun berjauhan daripada isteri, anak-anak dan cucu, beliau masih ceria dan bersemangat untuk terus bekerja dan melakukan inovasi.

 

“Bekerja adalah satu keseronokkan bagi saya. Saya rasa masih kuat dan mampu untuk bekerja. Adalah satu kerugian besar jika saya duduk diam dan ilmu yang saya ada ini tidak digunakan” kata Yuichi Sanada dengan pelat Jepunnya.

 

 

Inilah perjalanan lagenda Nismo yang ingin kami kongsikan kepada anda semua. Semoga kisah kerjaya dan pengalaman beliau dapat menjadi iktibar buat kita semua.

Perjalanan Karier

  • Graduan dari Universiti Tokyo dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
  • Sebelum ini, beliau telah bertugas sebagai Jurutera Casis di Nissan selama lebih kurang 15 tahun.
  • Kemudian beliau telah dilantik menjadi Pengarah Urusan di Nissan.
  • Setelah 31 tahun berkhidmat di Nissan, beliau kemudiannya dilantik menjadi presiden di Nismo bermula tahun 2004 hingga 2012.
  • Kini sedang bertugas di Dream Edge sebagai Penasihat Teknikal bermula tahun 2015.

 

Pengalaman bertugas di Nismo

“Semasa saya betugas sebagai presiden Nismo dahulu, kami merupakan juara selama sembilan tahun berturut-turut di dalam perlumbaan Super GT Japan” kata Sanada.

 

Beliau yang sangat bercita-cita tinggi menyatakan bahawa kreativiti merupakan salah satu faktor yang penting untuk menang dalam perlumbaan.

 

Bila ditanya apakah kreativiti yang dimaksudkan oleh beliau?

 

Apa yang dilakukan adalah, beliau akan memastikan yang Nismo mempunyai bajet yang mencukupi untuk menghasilkan enjin dengan lebih aerodinamik, piston yang lebih ringan dan kuat.

 

Selain itu, beliau turut menegaskan, disiplin juga merupakan faktor yang selalu ditekankan.

 

“Apa yang saya buat di Nismo, saya akan pastikan kereta-kereta lumba yang akan memasuki pertandingan siap salam masa yang telah ditetapkan. Kami bekerja mengikut jadual yang telah ditetapkan, jika tidak dapat mengikut jadual, saya akan cari jalan untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin” kata beliau.

 

Untuk kekal bertahan sebagai juara untuk tempoh sembilan tahun berturut-turut dalam Super GT Japan bukanlah sesuatu yang mudah. Ketika tahun pertama Nismo menjuarai perlumbaan Super GT Japan ini, beliau tahu bahawa tanggungjawab beliau untuk mengekalkan kejuaraan ini menjadi semakin besar.

 

Oleh demikian, beliau sentiasa mencuba untuk menjadi yang terbaik diantara jenama-jenama lain dalam dunia permotoran.

 

 

Pengalaman bertugas di Nissan

 

Karier beliau di Nissan bermula sebagai seorang jurutera casis selama 15 tahun.

 

Beliau mengimbau kembali kisah dimana boss mengarahkan beliau untuk mereka cipta suspensi yang baharu untuk kereta Nissan.

 

“Ketika inilah saya rasakan satu cabaran besar sebagai seorang jurutera. Setiap hari kami para jurutera akan bertengkar sesama kami demi menghasilkan produk yang terbaik untuk para pelanggan Nissan”.

 

“Nak tahu resepi untuk berjaya? Memandangkan di Nissan, setiap produk yang dihasilkan mengambil kira keperluan dan kehendak pelanggan. Jadi, resepi yang mendorong kejayaan kami adalah memastikan pelanggan kami sentiasa tersenyum puas" tambah beliau.

 

 

 

Budaya kerja Jepun dibawa ke Malaysia

 

Bertambah seronok apabila beliau ini tak lokek berkongsi tips-tips budaya kerja beliau ketika di Jepun. Apa yang kami nak sangat tahu, apakah budaya kerja yang beliau bawa dari Jepun dan praktikkan di Malaysia?

 

Pertama sekali, beliau menyatakan yang masa merupakan aspek terpenting dalam budaya kerja di Jepun.

 

“Jika di Jepun, kami sudah biasa untuk memastikan yang kami tidak akan sampai lewat ke tempat kerja, temujanji atau mesyuarat. Pada mulanya saya datang ke Malaysia, kebanyakkannya akan sampai lewat untuk mesyuarat” kata beliau.

 

Menurut Sanada, beliau bukanlah cuba untuk mengubah budaya kerja di Malaysia, tetapi budaya menepati masa sememangnya penting kerana disitulah permulaan untuk mendisiplinkan diri dan berjaya, setiap saat itu berharga.

 

Disinilah penasihat Dream Edge ini cuba untuk membawa budaya kerja Jepun kepada pekerja-pekerja beliau di Malaysia. Beliau cuba memastikan yang setiap pekerja akan sampai sekurang-kurangnya lima minit sebelum mesyuarat bermula.

 

HOU-REM-SOU

Inilah mentera yang diaplikasikan Yuichi Sanada. Apakah maksudnya? Menurut Sanada, beliau selalu menggalakkan pekerja-pekerja beliau untuk mengaplikasikan HOU-REM-SOU iaitu (lapor, berkomunikasi dan sokong).

 

“Jika pekerja saya menghadapi sebarang masalah, tidak tahu atau tidak ada idea untuk selesaikan kerja mereka, saya akan kumpulkan semua pekerja dan kami akan menyelesaikan masalah itu bersama-sama.”

 

“Saya tidak akan biarkan pekerja menanggung beban kerja yang tak dapat diselesaikan seorang diri. Mereka tak akan berkembang jika tiada perbincangan” kata beliau.

 

Sanada menyediakan satu papan putih di dalam bilik mesyuarat bagi pekerja-pekerja beliau meluahkan masalah kerja yang dihadapi. Apabila masalah dikenalpasti, seluruh warga kerja akan dikumpulkan untuk perbincangan bagi mencari jalan penyelesaian.

 

 

Kerjaya di Malaysia

 

Apabila ditanya apakah yang menyebabkan beliau memilih untuk bekerja di Malaysia?

 

“Saya sendiri yang sukarela menawarkan diri untuk berkhidmat di sini apabila mengetahui terdapat peluang pekerjaan di dalam bidang yang saya mahir, iaitu kejuruteran” kata beliau.

 

Sebenarnya jauh di sudut hati Sanada, beliau masih lagi mahu berkhidmat di Nismo. Walaubagaimanapun, sambil ketawa beliau mengatakan “saya diminta untuk bersara pada tahun 2012 dari Nismo kerana usia yang sudah lanjut”.

 

Lagenda Nismo yang berperwatakan yang ceria, bertenaga dan positif ini mengambil peluang untuk bekerja di Malaysia memandangkan beliau mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan oleh Dream Edge.

 

“Saya mempunyai kerjaya yang baik di Malaysia, dan akan mencurahkan segala ilmu dan pengalaman saya demi kemajuan dalam bidang kejuruteraanf” kata Sanada.

 

Bagi Careta, semangat Sanada perlu dicontohi oleh anak-anak muda di Malaysia. Walaupun sudah lanjut usia, beliau tetap gigih bekerja dan terus berusaha memajukan industri kejuruteraan.

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Nampaknya Nissan memang mahu menggunakan konsep Nismo kepada model-model mereka yang tidak disangka…