Apa yang terkandung di dalam pek aksesori Performance Hayabusa?
Komponen paling utama ialah sepasang peredam titanium Akrapovič dengan penjimatan berat empat kilogram dan peningkatan kuasa sebanyak 2.7 hp.
Peredam ini mempunyai muncung dan pelindung haba dari gentian karbon dan tampil eksklusif dengan logo Akrapovič dan Hayabusa ukiran laser.
Lagi kelengkapan ialah tuil brek dan klac aluminium yang turut mempunyai logo Hayabusa dan penutup tempat duduk pembonceng belakang.
Tempat duduk depan pula didatangkan dengan sulaman merah berserta logo Hayabusa.
Lagi logo Hayabusa ditempatkan pada pelapik tangki dalam warna emas atau perak mengikut kesesuaian motosikal.
Hayabusa di UK, £16,499
Di UK, Suzuki Hayabusa dijual pada harga £16,499 (RM93,747) dan model generasi ketiga ini tampil dengan pelbagai komponen enjin baharu.
Di antaranya ialah omboh, rod penyambung, aci engkol dan aci sesondol bagi mempertingkatkan prestasi dari julat rev rendah hingga ke pertengahan.
Hayabusa dengan sesaran enjin 1,340 cc berkuasa 190 ps pada 9,700 rpm dan tork 150 Nm pada 7,000 rpm.
Dari segi elektronik, Hayabusa dilengkapi sepuluh mod kawalan cengkaman, tiga mod kuasa, tiga peringkat kawalan mula, ABS dengan sensitiviti sudut condong dan kawalan jelajah.
Seperkara lagi menarik, Hayabusa masih mengekalkan jarum analog yang ditemani paparan TFT berwarna.
Kepada peminat tempatan, Hayabusa sudah pun berada di pasaran dan dijual pada harga RM111,200.
Penulis: Muhammad Md Tajudin