Kia Grand Carnival 2.2 CRDi - selepas 10,000 km

oleh HEZERI SAMSURI|
Umum mengetahui Careta telah pun melaporkan keadaan Kia Grand Carnival semasa ia diuji pada usianya di bawah 1,000 km.

Grand Carnival, generasi MPV saiz besar terbaharu dari Kia dilancarkan pada pertengahan tahun ini dan ia datang dalam dua variasi (2.2D KX dan 2.2D EX) dan satu pilihan enjin, R 2.2L CRDi VGT turbodiesel 4-silinder dengan tranmisi 6-kelajuan automatik.

Careta sudahpun hampir mencapai perbatuan yang ke-10,000 dan ia bakal dihantar untuk servis yang kedua (yang pertama pada 1,000 km).

Di bawah ialah apa yang Careta dapat rumuskan selepas enam bulan bersama Kia Carnival 2.2D KX, varian paling rendah pada harga RM161,200 (tanpa insurans).

Saiznya besar

Ya, kami masih tidak dapat melupakan bahawa ia sebuah MPV yang luas dan lebar.

Mungkin Toyota Alphard dan Vellfire mempunyai siling yang lebih tinggi kerana keduanya memang lebih tinggi dari Kia ini tetapi melainkan anda mahu berdiri, ruang lega kepala pada Grand Carnival ini sudah lebih dari mencukupi.

Kelebaran Kia yang perlu diingatkan sentiasa kerana pada 1,985 mm, ia adalah 135 mm lebih lebar dari Vellfire/Alphard dan 130 mm lebih lebar dari Hilux.

Pada bulan pertama memandu Grand Carnival, memang kami sentiasa memastikan ada ruang yang muat ketika memotong motosikal atau kereta.

Sekarang, kami sudah biasa dengan lebarnya dan ia bukan lagi masalah. Cuma semasa parkir, ia perlu ruang yang lebar kerana jika tidak, pintu kenderaan sebelah pasti akan "terlanggar" Kia ini.

Kabin lapan penumpang sangat selesa

Keluarga penulis memang sudah biasa dengan MPV, dan mereka semua bersetuju bahawa kabin Grand Carnival ini memang selesa dan praktikal.

Masing-masing mempunyai corong pendingin hawa di atas siling dan tidak ada komen mengenai kepanasan kerana sistem pendingin hawa Grand Carnival ini sangat memuaskan.

Untuk penumpang belakang, ada panel digital pada siling untuk mengawal suhu. Tempat meletak barang-barang kecil ada di sisi (ada 12 cupholders!) dan setiap tempat duduk cukup empuk untuk dewasa bersaiz besar.

Pendekata, mertua insya Allah tidak akan turun dengan muka masam kerana selesa.

Yang perlu ditambah mungkin slot USB yang sekarang ini cuma ada untuk barisan kedua. Mungkin satu lagi slot USB atau soket 12V ditambah untuk penumpang barisan ketiga.

Ruang boot besar

Ini ialah antara sebab terbesar kenapa kami sangat berpuashati dengan Grand Carnival ini.

Walaupun semua tempat duduk digunakan, masih ada tempat barang yang sangat luas di belakang.

Lubang pada lantai boot itu membantu kerana kami 6-sekeluarga boleh memuatkan semua beg untuk percutian 3-hari 2-malam.

Jika memerlukan ruang lebih luas, tempat duduk barisan ketiga boleh "ditanam" masuk ke dalam lantai, menghasilkan ruang yang kargo yang rata.

Tempat duduk barisan tengah boleh berdiri
 

Ya, antara masalah untuk MPV ialah kemasukan ke barisan ketiga oleh orang dewasa.

Bagi Grand Carnival, tempat duduk barisan kedua boleh ditolak ke hadapan dan "didirikan" tegak, membenarkan ruang yang sangat luas bagi seorang dewasa bertubuh sasa dan tinggi dan kacak seperti penulis untuk masuk ke belakang.

Cuma satu perkara - untuk yang tidak tahu, terkial-kial mereka mencari tuas untuk mendirikan tempat duduk itu dan sekiranya anda mempunyai isteri yang langsung tidak ada mechanical sympathy, baik anda bantu beliau untuk dirikan tempat duduk itu sebelum patah tuas itu dikerjakan.

Enjin diesel yang memang berkuasa dan menjimatkan

Ya, ia diesel kerana kenderaan sebesar dan seberat ini memerlukan kadar tork yang tinggi bagi keselesaan memandu dan penjimatan bahan api.

Dengan 440 Nm dan 193 PS dari enjin diesel bersesaran 2,199 cc itu, Grand Carnival ini memberikan kami bacaan purata 8.8L/100 km di dalam bandar dan 7.9L/100 km bila berjalan jauh di atas lebuhraya. 

Bacaan ini lebih baik dari laporan pertama kami kerana enjin sudah mula serasi dan semua komponen juga sudah di run-in dengan baik.

Mungkin ia tidak sejimat Perodua Bezza tetapi dengan saiz sebesar ini dan tork setinggi 440 Nm, ia membuatkan senyuman penulis lebih lebar.

CARNIVAL

 

Secara purata, satu tangki diesel (80 liter) memberikan penulis perjalanan dalam 700 km di dalam bandar dan menghampiri 850 km bila berjalan jauh (penulis cuma guna diesel Euro 5 dan bukan mode Eco).

Ada juga pemilik Grand Carnival di dalam Whatsapp Group KGC Owners (jika hendak masuk Whatsapp Group ini, PM kami di FB careta) yang dapat hampir 1,000 km dengan setangki.

Penulis mempunyai kaki kanan yang berat, maka mungkin sebab itu Grand Carnival kami tidak mendapat keputusan sejimat itu.

Satu sahaja komen kami - enjin memang sangat bising di luar tetapi tidak kedengaran sangat bila kita duduk di dalam kabin.

Tukaran gear yang lancar

Transmisi automatik 6-kelajuan ini biasa dan tidak ada cacat cela. 

Ia mempunyai fungsi tukaran gear manual tetapi tidak pernah kami guna kerana D sudah lebih dari memadai.

Grand Carnival juga ada Eco Mode, dan butangnya berada di belakang tuil gear. Ia memberikan respon pendikit yang lebih malar dan kurang agresif - sesuai untuk perjalanan jauh dan memang menjimatkan sedikit.

Sistem gantungan yang sesuai untuk lebuhraya

Kia Malaysia memasang penyerap hentak jenis prestasi tinggi untuk varian Malaysia.

Ia memang sedikit keras bila melanda lubang, tetapi ia tidak berbuai atau berayun dan ini sangat dihargai oleh semua penumpang.

Bagi pemandu, Grand Carnival tidak ada masalah "floaty" bila di atas lebuhraya dan kerana ia lebar dan rendah, angin dari bas dan lori besar tidak menjadi isu langsung.

Pendek kata, memandu MPV besar ini sebenarnya sedap.

Kekurangan fungsi infotainment

Ini ialah kekurangan utama Grand Carnival - ia tidak cukup mainan untuk keluarga. Tidak ada DVD player, skrin LCD di belakang, fungsi hot-spot WiFi dan sambungan HDMI atau Bluetooth bagi smartphone.

Untuk penulis, masalah itu adalah satu "blessing in disguise" kerana anak-anak kecil tidak lagi mengulang tayang cerita Frozen dan Smurfs sebanyak 145 kali.

Masalahnya, penulis sampai ke hari ini merasa terkilan kerana untuk sebuah MPV modern, fungsi peranti Bluetooth pada sistem audio tidak ada pada semua varian Grand Carnival.

Namun begitu, Kia Malaysia melaporkan bahawa batch terbaharu Grand Carnival sudah dilengkapi dengan Bluetooth.

Bagus. Cuma untuk kami batch pertama ini masih mengidam untuk mendapat fungsi Bluetooth yang boleh digunakan untuk telefon dan juga fungsi audio streaming seperti Spotify dan Joox.

Harapnya Kia Malaysia dapat menawarkan sesuatu untuk membantu kami pemilik awal MPV ini.

Tidak ada fungsi anti-silau automatik pada cermin belakang

Ciri-ciri antik Kia Grand Carnival diteruskan lagi dengan ketiadaan fungsi anti-silau atau anti glare automatik pada cermin belakang.

Ada tuil manual untuk fungsi itu, yang sama seperti Toyota Liteace 1.5L dengan transmisi 4-kelajuan manual tetapi alangkah baiknya jika fungsi automatik diberikan juga.

Bagi pemandu berusia 40-an, silau dari lampu kenderaan dibelakang sungguh membuatkan hati berubah menjadi segarang singa betina tua kena reject dengan Simba si singa teruna.

Kos tinted dan polishing tinggi

Kerana badan yang besar dan jumlah permukaan cermin tingkap yang besar, kos untuk kedua-dua perkara di atas lebih tinggi.

Oleh itu, pastikan ada duit terkumpul bagi kedua aksesori tersebut.

Kekurangan bahan aksesori di dalam pasaran

Jika dilihat dengan baik, Grand Carnival tidak datang dengan side-skirting dan ia menampakan bahagian sisi MPV ini seadikit "retro".

Sayangnya, tidak ada side skirt dijual di kebanyakan kedai-kedai. Kalau ada pun, side-skirt bergabung dengan side step yang diimport dari Korea Selatan dan berharga lebih dari RM2,000.

Air press untuk bingkai tingkap juga masih belum dijumpai dan kalau adapun, berwarna krom khusus untuk mafia Korea di sana.

Harapnya Kia Malaysia membuat inisiatif membawa masuk aksesori-aksesori bagi MPV ini dengan harga mampu milik.

Ia tidak ada DRL

Ramai yang tersilap pandang kerana kebanyakan iklan atau gambar rasmi Grand Carnival ini ialah model yang datang dengan DRL jenis LED.

Sebenarnya, varian Malaysia tidak ada DRL, cuma ada LED light tube yang hidup bila lampu dibuka.

Ia satu masalah kecil tetapi ada yang "frust".

Kesimpulannya, Grand Carnival ialah sebuah MPV yang besar dan mempunyai enjin diesel yang berkuasa dan menjimatkan.

Perkhidmatan selepas jualan tidak menjadi isu kerana unit ini dibeli dengan pakej tiga tahun servis dan kos penyelenggaraan percuma.

Selama 10,000 km kami bersama Kia ini, kami rasakan ia memang sesuai untuk keluarga yang sering berjalan jauh dan yang sukakan fakta bahawa ia mempunya waranti selama lima tahun dan pusat servis bertauliah di seluruh negara.

Ini menambahkan keyakinan dan pakej K5 yang diberikan menjamin harga terpakainya kekal minimum 50 peratus selepas lima tahun itu menjadi "deal clincher" untuk MPV ini. 

Add new comment

Berita Berkenaan

Berita Global
Satu persatu figura dari jenama global terkenal menjadi tenaga kerja Kia atau Hyundai dan pelaburan…
Berita Global
Sejak sedekad lalu, Kia telah berjaya dalam proses transformasi dari syarikat yang dipandang…
Telah Diuji
Sebut sahaja jenama Korea, akan muncul haters-haters (pembenci) dengan alasan-alasan lapuk kenapa…