Selain daripada itu, 100 orang pengguna lebuh raya juga bakal memenangi mata ganjaran PLUSMiles bernilai RM50 yang boleh ditebus di R&R PLUS yang terpilih.
Caranya mudah sahaja, pengguna Lebuhraya PLUS hanya perlu memuat turun aplikasi mudah alih PLUS seterusnya mendaftar waktu jadual perjalanan yang sesuai untuk mereka mula memasuki lebuh raya.
Menurut Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, "pengguna yang telah mendaftarkan pilihan perjalanan menerusi My-TTA antara 22 Disember 2023 hingga 1 Januari 2024 akan mendapat akses maklumat terkini terus ke telefon bimbit masing-masing, selain menerima notifikasi berdasarkan destinasi dan tarikh perjalanan yang dipilih.
Jelasnya lagi, inisiatif ini merupakan penambahbaikan kepada jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan oleh PLUS sejak tahun 2007.
"My-TTA adalah pendekatan secara digital yang lebih mesra pengguna, di mana pengguna dapat memilih waktu perjalanan berdasarkan plaza tol masuk dan plaza tol keluar, selain melihat tahap keadaan trafik berdasarkan corak perjalanan perayaan musim lalu ke sesuatu destinasi.
Difahamkan, program rintis My-TTA telah diperkenalkan pada cuti perayaan Deepavali yang lalu, di mana ia telah menerima sambutan yang menggalakkan, dengan kadar pematuhan jadual perjalanan sehingga 30 peratus.
Selain itu, aplikasi PLUS juga menyediakan paparan kamera CCTV keadaan trafik di lokasi kritikal lebuh raya, butang SOS untuk bantuan kecemasan, senarai kemudahan R&R atau hentian sebelah, kalkulator tol, atau berinteraksi dengan Chatbot PUTRI.