Selari dengan bentuknya yang comel dan ranggi tu, Casper Van disasarkan untuk golongan peniaga yang mahukan sebuah kenderaan kerja yang kecil namun masih lagi stailo untuk dibawa.
Boleh dikatakan tiada perbezaan ketara antara Casper Van dengan crossover versi penumpang, namun untuk ruang kabin, tempat duduk baris kedua telah dibuang sepenuhnya bagi menyediakan ruang sebesar 940 liter.
Untuk perlindungan, Hyundai telah menambah bar pada bahagian tingkap sisi dan belakang, serta besi penghadang di bahagian belakang pemandu.
Hyundai Casper Van hanya boleh didapati dalam versi asas dengan rekaan rim yang tidak menarik itu, serta ketiadaan sistem infotainmen skrin sesentuh seperti yang terdapat pada varian Casper yang lebih premium.
Namun begitu, Casper Van masih lagi dilengkapi dengan ciri moden seperti lampu DRL LED, penderia parkir belakang, skrin instrumen digital 4.2 inci, slot USB, sambungan Bluetooth serta dua pembesar suara.
Dari segi keselamatan pula, Casper Van didatangkan dengan ciri bantuan ADAS seperti kawalan jelajah, Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan, Bantuan Pengekalan Lorong, serta Bantuan Suluhan Tinggi.
Kenderaan komersial ringan yang comel ini hanya hadir dengan satu pilihan enjin sahaja, iaitu enjin tiga silinder 1.0 liter aspirasi natural dengan output 75 hp, serta padanan transmisi automatik empat kelajuan yang memacu roda hadapan sahaja.
Dengan harga jualan bermula dari 13,850,000 won (RM48,284), Hyundai turut menawarkan beberapa opsyen seperti upholsteri ala kulit bernilai 600,000 won (RM2,092), ciri pemanas pada roda stereng dan cermin boleh dikelamkan bernilai 330,000 won (RM1,150), bampar hadapan Casper Active bernilai 950,000 won (RM3,312), serta rak bumbung Thule bernilai 550,000 won (RM1,917).
Baca: Hyundai Casper 2022