T.50s Niki Lauda ini hanya dihasilkan dalam 25 unit sahaja, dan ia bakal diproduksikan setelah 100 unit model T.50 versi jalanan siap sepenuhnya pada Januari 2023.
Untuk sebuah jentera kegunaan litar, T.50s Niki Lauda memiliki berat sekitar 852 kg sahaja, namun ia digandingkan dengan enjin aspirasi natural 3.9 liter bentangan V12 yang menghasilkan 725 hp dan putaran enjin yang mampu mencapai 12,100 rpm!
Enjin ini turut dilengkapi dengan kotak induksi RAM, serta dipadankan dengan sistem transmisi X-Trac enam nisbah kelajuan.
Panel luaran jentera ini hanya unik untuk varian T.50s sahaja, dan diperbuat daripada bahan gentian karbon yang ultra-ringan, sementara gelas kaca pula menggunakan bahan yang lebih ringan.
Beberapa penambahbaikan dibuat seperti contoh spring, peredam dan bar anti-oleng telah dinaiktaraf, sementara ketinggian jentera direndahkan kepada 87 mm di hadapan, dan 116 mm di bahagian belakang.
Ciri unik yang terdapat pada model asal T.50 dikekalkan seperti contoh kipas 400 mm di bahagian belakang, namun ia ditambah dengan ciri seperti diffuser belakang yang lebih besar, serta pemasangan 'delta wing'.
Bahagian hadapan pula didatangkan dengan splitter hadapan yang cukup besar, serta pemasangan barge board pada bahagian sisi untuk memperbaiki aliran udara ke bahagian ruang kemasukan udara sisi.
Menurut Gordon Murray Automotive, model T.50s ini berupaya untuk menjana sehingga 1,500 kg daya turun (downforce).
Seperti model jalanan asal, T.50s Niki Lauda ini memerlukan pemandu duduk di tengah-tengah kabin, dengan kerusi bucket penuh yang diperbuat daripada gentian karbon.
Penumpang nampaknya perlu duduk seorang di sebelah kiri belakang pemandu, ini kerana di bahagian kanan terdapat sistem pemadam kebakaran, dan kehadiran panel suis yang diposisikan menegak di bahagian kanan hadapan pemandu.
Seperti yang disebutkan di atas, hanya 25 unit sahaja GMA T.50s Niki Lauda yang akan dihasilkan, dan setiap pembeli layak untuk mendapat perkhidmatan bespoke, dan Trackspeed Package yang merangkumi sokongan kejuruteraan dan peralatan yang diperlukan untuk kegunaan dalam litar.
Harga jualan bermula dari £3.1 juta (RM17.63 juta).
Baca: Gordon Murray T.50