Perjanjian yang dimeterai bersama Dorna Sports selaku penganjur dan penggalak (promoter) kejohanan itu akan berlangsung sehingga musim 2026.
Tidak dapat dipastikan apakah rancangan seterusnya Ducati dan ini adalah detik bersejarah buat pengeluar dari Itali itu.
Berdasarkan kebiasaan, Ducati menggunakan perlumbaan sebagai makmal untuk teknologi dan penyelesaian yang akhirnya menjadi realiti buat penunggang motosikal.
Ducati memaklumkan sasaran projek ini ialah untuk membangunkan kepakaran dan teknologi di dalam dunia yang sentiasa berubah.
Perlumbaan adalah sesuatu yang sangat sinonim dengan Ducati.
Sebagai contoh, Ducati 851 dengan teknologi dua silinder sejukan air, suntikan bahan api elektronik dan aci berkembar dengan head empat injap datangnya dari motosikal lumba Ducati 748 IE.
Motosikal itu dipertandingkan buat kali pertama di dalam perlumbaan lasak (endurance) di Le Castellet, Perancis pada tahun 1986.
Selepas itu teknologi dipindahkan dari perlumbaan Kejuaraan Dunia Superbike yang disertai sejak edisi pertama tahun 1988 dan MotoGP di mana Ducati adalah satu-satunya jenama bukan Jepun yang memenangi kejuaraan dunia.
Banyak lagi contoh dari litar ke jalanan seperti enjin V4 Panigale dengan ukuran bore dan stroke dan aci engkol putaran berlawanan (counter-rotating crankshaft) dari enjin Desmosedici GP tahun 2014.
Bukan setakat komponen mekanikal, motosikal Ducati juga menggunakan perisian kawalan yang dibangunkan dari dunia perlumbaan.
Dengan langkah terbaru ini dan berdasarkan sejarah adakah Ducati bakal mengeluarkan motosikal elektrik satu hari nanti?
Atau Ducati mahu membangunkan rangkaian kuasa elektrik?
Tidak dapat dibayangkan andai kata Ducati mengeluarkan motosikal elektrik. Nampak seperti ya tapi ini hanya telahan sahaja.
Apa pun kita tunggu berita sahih dari Ducati dan apa yang jelas ialah tahun 2023 nanti motosikal elektrik Ducati akan berentap di litar lumba.
Penulis: Muhammad Md Tajudin