Debut McLaren Senna - Super car dengan pecutan sepantas 340kmsj!

oleh Afandi Che Muhamad|
Pengeluar kereta lumba Formula Satu (F1), McLaren semalam mengumumkan bakal mendedahkan super car terbaharunya, Senna di Pameran Motor Antarabangsa Geneva ke-88 pada 6 Mac depan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Pegawai Eksekutif McLaren Automotive, Mike Flewitt berkata, pengenalan McLaren Senna dilakukan bersempena memperingati ulang tahun kematian ke-30 pelumba lagenda pasukan Formula Satu McLaren-Honda iaitu mendiang Ayrton Senna (1960-1994).

"Pembinaan super car ini didedikasikan untuk mendiang Ayrton yang menyertai pasukan McLaren-Honda Formula Satu pada tahun 1988.

"Dia (mendiang Ayrton) dianggap sebagai wira kerana kejayaannya merangkul gelaran juara dunia sebanyak tiga kali sepanjang pembabitan dalam pasukan kami sebelum maut ketika beraksi dalam Grand Prix San Marino pada tahun 1994," katanya kepada portal automotif antarabangsa, Motor Authority kelmarin.

Menurut Mike (gambar), McLaren Senna disuntik dengan DNA perlumbaan sekali gus menjadikan ia unik dan berbeza daripada model lain.

Diiktiraf sebagai kenderaan paling ringan pernah dibina syarikat tersebut, McLaren Senna memiliki berat sekitar 1,198 kilogram (kg) sahaja.

Jauh lebih ringan daripada McLaren F1 sebelum ini!

Super car yang digerakkan nadi enjin V8 4.0 liter dengan pengecas turbo berkembar itu berupaya meledakkan kuasa setinggi 789Hp pada 7,250 rpm dan tork maksima mencecah 800Nm antara 5,500 hingga 6,700 rpm.

Difahamkan, McLaren Senna mampu memecut dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (kmsj) dalam tempoh 2.8 saat selain mencapai kelajuan 200kmsj dengan catatan masa hanya 6.8 saat sahaja.

Kelajuan maksima yang direkodkan McLaren Senna setakat ini ialah 340kmsj.

Selain faktor enjin, angka kelajuan itu turut disumbang beberapa aspek lain seperti penerapan komponen sayap (spoiler) belakang yang bersifat aerodinamik dan efisien mengurangkan downforce sehingga 800kg.

Harus diketahui, tugas penghantaran kuasa ke gandar roda jenis Pirelli P Zero Trofeo R (saiz 245/35 dengan rim 19 inci di hadapan dan 315/30 bersama rim belakang 20 inci) itu digalas kotak transmisi tujuh kelajuan.

McLaren Senna turut didatangkan bersama sistem ekzos Inconel-Titanium yang memuntahkan bunyi bising sekitar 10dB setiap kali pedal minyak dipijak.

Beralih ke sistem suspensi pula, super car tersebut disediakan dengan sistem gantungan Race Active Chassis Control II (RCC II).

Sebagai permulaan, McLaren Senna dihasilkan dalam jumlah yang terhad iaitu sekitar 500 buah kesemuanya dengan lima pilihan warna seperti hitam, biru, jingga, putih dan kelabu.

Meski pun harga McLaren Senna mencecah UK£750,000 (RM4.1 juta) seunit, kesemua stok yang disediakan syarikat itu sudah pun ditempah pelanggan.

Wah! Ramai juga individu yang mampu membeli super car tersebut ya. Siapa lah agaknya.

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Penganjuran oleh Northernspeedo ini mendapat kerjasama penuh dari Kementerian Belia & Sukan (…
Berita Global
Terdapat pelbagai koleksi gambar Enzo dari awal penglibatan beliau hingga lah gambar terakhir…
Berita Global
Jurucakap Ferrari berkata, pemilihan nama ‘Pista’ dilakukan sebagai simbolik penghormatan kepada…