Kerajaan antara lain melaksanakan beberapa inisiatif iaitu menyediakan perkhidmatan tunda kereta melalui Perodua ke pusat servis Perodua secara percuma selain syarikat itu bersetuju memberikan kos upah baik pulih secara percuma dan diskaun sebanyak 50 peratus ke atas alat ganti.
“Proton juga bersetuju memberi diskaun alat ganti sebanyak 50 peratus bagi kebanyakan model kereta serta menawarkan caj tunda dan cuci kereta secara percuma di pusat-pusat servis mereka yang berdaftar.
“Bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25 peratus atau lebih, ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis berdaftar,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain itu, kata Ismail Sabri, Bank Negara Malaysia (BNM) menyediakan Kemudahan Bencana atau DRF melalui bank komersial sehingga RM500,000 kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro.