Albert Biermann bersara sebagai ketua R&D Hyundai, galas tugas baharu di Eropah

oleh Muhammad Md Tajudin|
Albert Biermann
Albert Biermann
Sebelum ini kami ada laporkan tentang kemungkinan kontrak Albert Biermann bakal ditamatkan.

Beliau adalah individu penting di sebalik pembangunan model berprestasi dan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) Hyundai.

Melalui berita yang disampaikan secara rasmi oleh Hyundai Motor Group sah Albert Biermann akan bersara!

Albert Biermann yang berusia 65 tahun akan bersara dari jawatan Presiden dan Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) namun masih kekal bersama Kumpulan Hyundai Motor (HMG).
AION MREC Banner Campaign May 2024
Albert Biermann

 

Bersara tapi kekal?

Beliau akan terus bersama HMG dan memegang jawatan Penasihat Eksekutif Teknikal di Eropah.

Tugas beliau ialah menasihati HMG dalam pembangunan produk baharu dan juga teknologi masa depan seperti urban air mobility (UAM), robotik dan bahan bakar hidrogen.

Beliau juga akan memberi sokongan kepada program pembangunan model elektrifikasi berprestasi.

Ilmu dan pengalaman yang dimiliki sangat berharga dan beliau akan memainkan peranan utama dalam pembangunan bakat dengan berkongsi kepakaran di Pusat Teknikal Hyundai Motor Eropah.

Berkhidmat dengan BMW selama 31 tahun

 

Hyundai i30 N

 

Albert Biermann menyertai HMG pada April 2015 sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pengujian Kenderaan & Pembangunan Berprestasi Tinggi.

Beliau sebelum itu berkhidmat bersama BMW selama 31 tahun! Kepakaran dan pengalaman ini yang turut menaikkan nama Hyundai.

Di Pusat R&D Kumpulan Hyundai di Namyang, Korea beliau mengetuai pembangunan pelbagai model Hyundai, Genesis dan Kia.

Beliau menyelia projek berkaitan pemanduan dan pengendalian, keselamatan, reliabiliti serta bunyian, getaran dan kekasaran (NVH).

Tugas dan jasa beliau paling dikenali apabila memainkan peranan penting dalam penubuhan sub jenama berprestasi tinggi Hyundai N.

Pada tahun 2018, beliau dinaikkan pangkat sebagai Presiden dan Ketua Jabatan R&D HMG.

Berubah dengan signifikan, jenama makin naik

 

Kia Stinger 2017

 

Sejak menyertai HMG, prestasi pemanduan kenderaan Hyundai dan Kia berubah dengan signifikan dan boleh dilihat melalui pelancaran model berprestasi seperti Hyundai i30 N dan Kia Stinger.

Dua model itu berjaya menaikkan keupayaan kumpulan dalam pembangunan model berprestasi tinggi.

Memang benar, jualan kedua-dua model itu tidak tinggi tapi ia berjaya membuka mata ramai dan turut meningkatkan penjenamaan Hyundai dan Kia.

Selain itu, kejayaan pembangunan platform E-GMP (Electric-Global Modular Platform) di bawah kepimpinan beliau telah meletakkan kumpulan pada aras lebih tinggi dalam perniagaan kenderaan elektrik bateri.

 

Kia Stinger 2017

 

Banyak lagi jasa beliau

HMG sekarang ini sedang bersiap sedia untuk beralih kepada penyedia penyelesaian mobiliti pintar. 

Albert Biermann telah membawa satu inovasi dalam Jabatan R&D melalui satu sistem berasaskan senibina (kenderaan) yang akan membantu syarikat ke arah transformasi tersebut.

Di bawah tema One Strong R&D Family beliau telah membimbing jenama kenderaan HMG untuk berkomunikasi dan bekerjasama dengan cara yang lancar dan cekap seterusnya mengubah Jabatan R&D kepada sebuah organisasi tangkas dan bersesuaian untuk era baharu.

 

Hyundai i30 N

 

Di bawah kepimpinan R&D beliau juga HMG berjaya membangunkan daya saing dalam kesemua bidang pengangkutan dengan membangunkan sistem pembangunan senibina (kenderaan) modular bagi mengurangkan kerumitan dan meningkatkan kecekapan pembangunan.

Beliau turut menyelia pengenalan sistem pembangunan kenderaan maya HMG.

Dengan ini jelas bahawa pengambilan Albert Biermann memberi manfaat besar!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam satu laporan terkini daripada Business Korea, Hyundai dikhabarkan menutup secara rasmi pusat…
Berita Global
Ini kerana menurut laporan terbaharu daripada Korea Times yang memetik sumber enggan dikenali,…
Berita Global
Namun, apabila divisyen N Hyundai kini disertai oleh Albert Biermann yang merupakan bekas bos besar…