Tidak sangka ada yang membuat tinjauan mengenai meletak kereta dan itulah yang dibuat oleh YourParkingSpace.co.uk, sebuah portal dalam talian yang menyediakan khidmat tempahan dan sewaan petak parkir di United Kingdom.
Tinjauan yang dibuat mendapati satu daripada lima pemandu di Britain mempunyai kesukaran dalam meletak kereta.
Harisson Woods, Pengarah Urusan YourParkingSpace.co.uk berkata: "Tidak susah pun dalam setiap hari untuk bertemu pemandu yang bergelut dalam meletak kereta seperti parkir sisi (parallel) atau cuba untuk menyesuaikan kereta ke dalam ruang sempit.
"Berita baiknya ialah sekarang ini terdapat parkir alternatif kepada jalanan iaitu ruang sewaan khas (seperti ditawarkan YourParkingSpace.co.uk) yang menawarkan lebih ruang berbanding parkir biasa."
Selain itu 54 peratus yang memberi respon percaya bahawa pemilik kereta boleh memperbaiki lagi cara mereka meletak kereta.
Maknanya ialah ramai yang percaya bahawa sikap pemandu adalah punca kepada kesukaran untuk meletak kereta buat pemandu yang datang kemudian.
Berdasarkan pengalaman peribadi, kes begini terjadi apabila pemandu "makan space" atau "parking senget" sehingga menyebabkan kesukaran kepada pemandu lain.
Biasanya ia dimulakan oleh pemandu pertama yang kemudian mendatangkan kesan domino. Lebih parah apabila kereta yang pertama tadi meninggalkan slot parkir dan secara langsungya menunjukkan kesalahan kepada pemandu yang terkemudian tadi.
Walau bagaimanapun menurut Harisson Woods cabaran yang dihadapi boleh diatasi melalui teknologi seperti fungsi parkir automatik pada sesetengah kereta dan pelbagai sensor atau guna sahaja khidmat tempahan parkir awal.
Kami tertanya jika ada laman web tempatan yang menyediakan khidmat tempahan parkir seperti YourParkingSpace.co.uk memandangkan ia benar-benar berguna.
Bukan sahaja untuk pemandu tetapi untuk pemilik mendapatkan duit lebih dengan memberi sewa ruang kosong di depan rumah.
Satu idea yang bernas!
Penulis: Muhammad Md Tajudin