Nissan sekali mengemaskini Elgrand dan mula dijual di Jepun pada pertengahan April.
Model 2024 dilengkapi teknologi 360° Safety Assist dengan fungsi keselamatan canggih seperti Brek Kecemasan Pintar dan Bantuan Pencegahan Tersalah Pecut.
Selain itu kesemua varian dilengkapi Monitor Pandangan Keliling Pintar (dengan pengesanan objek bergerak) dan cermin pandang belakang automatik malap dengan paparan.
Buat pelanggan yang mahukan MPV dengan imej sporti, Nissan meneruskan penawaran Elgrand AUTECH dan versi mewah Elgrand VIP dengan empat dan tujuh tempat duduk.
Seperti model Jepun lain, Elgrand turut ditawarkan dalam versi kerusi yang boleh dianjak keluar.
Walaupun lama di pasaran, Nissan tidak sekadar acah-acah menjual kerana sejumlah varian ditawarkan.
Pelanggan boleh mendapatkan varian Highway Star, Highway Star S, Highway Star Premium, Highway Star S Urban Chrome dan Highway Star Premium Urban Chrome.
Varian itu dibahagikan kepada 350 (enjin 3.5 liter dan 250 (enjin 2.5 liter) dan mempunyai pilihan tujuh atau lapan tempat duduk (kecuali AUTECH dan VIP).
Elgrand 350 digerakkan enjin VQ35DE 3.5 liter yang menghasilkan 280 ps pada 6,400 rpm dan tork 344Nm pada 4,400 rpm.
Elgrand 250 pula dengan enjin QR25DE 2.5 liter dengan kuasa 170 ps pada 5,600 rpm dan tork 245Nm pada 3,900 rpm.
Enjin dipadan bersama kotak gear Xtronic CVT M6 dan seperti biasa pelanggan boleh memilih pacuan dua roda (2WD) atau empat roda (4WD).
Elgrand VIP khusus dengan enjin 3.5 liter sahaja.
Berkenaan harga, model paling mampu milik ialah Elgrand 250 Highway Star S 2WD tujuh dan lapan tempat duduk yang ditawarkan pada 4,082,100 yen (RM127,776).
Elgrand AUTECH ditawarkan pada harga serendah 5,205,200 yen (RM162,933) (250 Highway Star S 2WD).
Daripada sejumlah varian, Elgrand VIP 350 Highway Star Premium 4WD empat tempat duduk paling mahal dan dijual pada harga 8,378,700 yen (RM262,225).
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Gambar: Nissan