Elgrand generasi ketiga (E52) dikeluarkan pada tahun 2010 dan walaupun sudah tidak dijual secara rasmi di negara kita ianya masih ditawarkan di Jepun.
Usia satu dekad bukan masalah dan terbaru Nissan memperkenal model minor change (MC) pula.
Secara amnya Elgrand MC mengekalkan bentuk sama kecuali gril yang besar dan menonjol. Gril tersebut nampak menarik dengan kotak-kotak kecil berbanding garisan melintang sebelum ini.
Bahagian dalam nampak kontemporari dengan corong penyaman udara yang direka semula dan panel kawalan digital.
Sekali lagi usia satu dekad bukan masalah untuk Nissan melengkapi Elgrand MC dengan teknologi 360° Safety Assist.
Di antara teknologi tersebut ialah Amaran Pelanggaran Berdepan Pintar (FCW), Bantuan Lampu Puncak, Amaran Penukaran Laluan (LDW), Brek Kecemasan Pintar, Amaran Titik Buta, Peringatan Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan pelbagai lagi.
Dari segi rangkaian kuasa pula, kekal dengan dua pilihan iaitu 2.5 liter QR25DE dan 3.5 liter VQ35DE yang dipadan bersama transmisi Extronic CVT-M6.
Jenis pacuan turut mempunyai pilihan iaitu 2WD dan 4WD. Selain itu, kenderaan di Jepun meriah dengan pelbagai varian dan Elgrand 2020 disusun seperti berikut:
- 350 Highway Star Premium
- 350 Highway Star
- 350 Highway Star Premium Urban Chrome
- 350 Highway Star Urban Chrome
- 250 Highway Star Premium
- 250 Highway Star S
- 250 Highway Star Premium Urban Chrome
- 250 Highway Star S Urban Chrome
Satu lagi keistimewaan ialah apabila Nissan turut menawarkan varian sporti Elgrand Autech dalam dua varian iaitu 350 Highway Star dan 250 Highway Star S dengan tujuh tempat duduk.
Apabila bercakap mengenai van premium sebegini, jumlah tempat duduk adalah satu ciri penting dan seperti biasa ada dua pilihan utama iaitu lapan dan tujuh tempat duduk.
Jika jumlah itu dirasakan tidak sesuai, ada dua varian istimewa iaitu Elgrand VIP 350 Highway Star Premium dengan tujuh tempat duduk atau empat tempat duduk yang memberikan ruang lebih lapang.
Berkenaan harga, Elgrand 350 Highway Star Premium 4WD empat tempat duduk berada pada hirarki tertinggi iaitu JPY7,890,300 (RM314,506).
Varian paling mampu milik ialah Elgrand 250 Highway Star S 2WD tujuh tempat duduk iaitu JPY3,954,000 (RM157,671).
Seperkara yang perlu diketahui ialah walaupun tidak lagi ditawarkan secara rasmi, Elgrand kekal dibawa masuk oleh pengimport bebas.
Harga pula sedap didengar untuk MPV di dalam kelasnya.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit foto: Nissan