Apa yang boleh dijangka daripada diesel Euro 5 baharu Petronas Julai nanti

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Tiba pada masa kini, Petronas sudah tentu bukan yang pertama menjual minyak diesel Euro 5 kepada pasaran. Ya, mereka ada menawarkan bahan api tersebut di beberapa stesen di Johor Bharu tetapi itu adalah produk yang diimport, dan ditawarkan untuk melihat respon orang ramai dan bagi memenuhi keperluan pengguna yang perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi kenderaan untuk memasuki Singapura. Walaubagaimanapun, Petronas tetap sedang membangunkan produk mereka sendiri, yang mana pada masa ini sudah mencapai tahap 90% dan yang tinggal cuma ujian lapangan (field test). Menjelang bulan Julai 2016, Petronas akan mula menawarkan diesel Euro 5 di seluruh negara bermula dengan 30 stesen dan akan dikembangkan secara berperingkat. Semasa acara Dynamic Diesel Experience hujung minggu lalu, kami sempat bertemu dengan Jurutera Bahan Api Petronas Dagangan Berhad, Hafiz A. Aziz dan bertanyakan beberapa perkara berkaitan diesel Euro 5 Petronas itu. Petronas Dynamic Experience-19 Jika diikutkan 'bahasa kimia' beliau, memang akan mengambil masa yang lama untuk difahami, tetapi kami cuba mendapatkan kesimpulannya dalam bahasa yang mudah 'dihadam' ramai. Jika dibandingkan dengan diesel Euro 2M yang ditawarkan sekarang, diesel Euro 5 mempunyai kandungan sulfur yang jauh lebih rendah, dan dapat disesuaikan dengan enjin moden supaya mencapai tahap optimumnya. Selain daripada itu, ini adalah antara kelebihan lain diesel Euro 5 Petronas baharu. 5 ciri isitimewa diesel Euro 5 Petronas 
  • Aditif 100% baharu, yang dapat membersihkan enjin serta muncung dan dalaman 'injector'
  • Dapat membantu memulihkan enjin, membersihkan mendapan/deposit yang ada pada enjin
  • Ramuan yang dapat meningkatkan pembakaran. Ini adalah berkenaan rumusan kimianya
  • Jumlah 'Cetane' yang tinggi. Enjin akan mudah stabil apabila baru dihidupkan dan kurang asap
  • Kadar ketumpatan tinggi. Tenaga dapat diperoleh daripada sumber yang lebih kecil. Membawa kepada penjimatan bahan api
Jika anda pernah mendengar keberadaan Petronas di pelbagai negara, ia sememangnya benar, dengan penawaran bahan mentah (crude) dan minyak enjin, tetapi bagi produk akhir bahan bakar, ia hanya ditawarkan di Malaysia dan Afrika sahaja. Jadi, produk diesel Euro 5 ini dibangunkan khas untuk dimulakan pasarannya di Malaysia dengan bahan mentah yang datang sendiri dari negara kita dan juga diimport. Kajian dan pembangunan pula dilakukan bersama fasiliti dari luar negara termasuk Eropah dan Amerika Syarikat. Turut diambil penting oleh Petronas dalam membangunkan bahan api ini juga adalah penjimatan bahan api penggunanya. Jadi, bila ia mula dipasarkan nanti, anda cubalah sendiri dan jadilah hakimnya.