Ujian kesihatan untuk pemandu usia lebih 50 tahun? (dikemaskini)

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Majlis Keselamatan Jalanraya Melaka (MKJR) mencadangkan agar pemegang lesen memandu yang berusia lebih 50 tahun diwajibkan melalui ujian kesihatan dalam usaha untuk memastikan keselamatan jalanraya untuk semua.

Menurut laporan dari Shahrim Tamrin yang menulis untuk portal akhbar The Sun Daily, cadangan tersebut diusulkan oleh setiausaha MKJR Melaka, Ghafar Misdar ketika Mesyuarat Agung Tahunan Yang Ke-57 Majlis Keselamatan JalanRaya di Awana Genting hari ini. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh 350 peserta dari seluruh negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi bersetuju bahawa patut diadakan saringan ujian kesihatan untuk pemandu berusia demi keselamatan mereka dan pengguna jalanraya yang lain tetapi "umur yang lebih sesuai mungkin bermula dari 65 tahun, dan mungkin boleh dimulakan dengan ujian penglihatan."

"Umur 50 tahun masih terlalu muda. Usul ini perlu dikaji dengan teliti. Di peringkat kementerian, ia boleh ditimbangkan tetapi ia perlu input dari semua pihak sebelum keputusan dibuat," ujar beliau kepada theSun.

  Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) baru-baru ini tidak memberikan sebarang perlindungan insuran kepada pemandu kenderaan komersil berumur lebih dari 65 tahun, dan Aziz berkata tindakan itu boleh menjadi pembuka jalan untuk membuat program khas untuk pemandu berusia. "Tindakan MMIP itu seolah satu tanda untuk pihak berkuasa mengadakan perbincangan lebih lanjut mengenai polisi insurans yang berkaitan dengan pemandu berusia," tambah Aziz.  

Menurut Ghafar pula, Malaysia perlu mengikut standard piawaian yang dilakukan oleh negara maju di mana saringan ujian kesihatan perlu diwujudkan untuk pemandu berusia. Beliau seterusnya menambah cadangan tersebut sesuai dan tepat pada masanya kerana pemandu berusia di dalam negara sudah semakin ramai dan hanya akan meningkat di masa hadapan.

"Kami menghormati pemandu-pemandu berusia dengan pengalaman memandu yang sangat lama tetapi cadangan ini perlu kerana mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi kerana kelemahan fungsi fizikal yang ketara," ujar beliau kepada theSun selepas mesyuarat tadi.

Tambah beliau lagi, saringan ujian kesihatan boleh dijadikan kayu pengukur untuk memastikan kebolehan pemandu yang berusia kerana terdapat banyak kesan sampingan yang sering dialami oleh golongan berusia eperti kencing manis, darah tinggi, rabun, masalah buah pinggang dan beberapa penyakit lain.

MKJR Melaka juga menambahkan cadangan untuk diadakan ujian air kencing kepada pemohon lesen memandu.

Walau bagaimana pun, mesyuarat tersebut memutuskan cadangan MKJR Melaka ditolak tetapi perlu diperhalusi untuk dicadangkan lagi dalam mesyuarat MKJR tahun hadapan.

MKJR Kebangsaan bersetuju untuk mewajibkan ujian air kencing bagi pemohon lesen memandu dan ia akan dibawa ke mesyuarat Kementerian Pengangkutan untuk dibincangkan.

Minggu lalu, seorang pemandu berusia 86 tahun dan pembantu rumahnya selamat dari sebarang kecederaan apabila kereta yang dipandu beliau jatuh ke dalam lubang pembinaan kumbahan di Petaling Jaya.

The Sun melaporkan bahawa pemandu itu tidak nampak halangan plastik yang diletakkan di keliling lubang sebelum beliau memandu terus ke dalam lubang sedalam 10 meter itu.