Lexus LX570 - Redah cabaran dalam gaya mewah

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Kehadiran model SUV besar seperti Land Cruiser di atas jalan raya Malaysia sudah cukup untuk menimbulkan rasa 'wow' dengan ada yang membayangkan betapa gahnya berada dalam kenderaan sebegitu. Di negara kita, atau lebih tepat di Sabah, kenderaan ini cukup popular sehinggakan mempunyai nama jolokan sendiri iaitu 'Ninja King'. Penulis sendiri belum pernah berpeluang untuk bertemu dengan orang Sabah bagi bertanyakan asal nama tersebut tetapi ia adalah unik kerana anda tidak akan dapat melihat lencana Ninja King di mana-mana bahagian Land Cruiser. Jika Land Cruiser 'biasa' itu tidak cukup memberangsangkan lagi, ini dia 'taiko' yang bersedia menyahut cabaran anda, Lexus LX570. Sebelum pergi lebih, ini adalah harganya (termasuk GST, tanpa insurans): Semenanjung Malaysia - RM923,960 Sabah/Sarawak - RM925,832.86 Langkawi - RM524,057.52 Labuan - RM524,866.42 Ya, sedikit sahaja lagi, ia boleh mencecah RM1 juta tetapi jangan berpaling dahulu kerana walaupun ada yang masih belum mampu sekarang, tiada siapa dapat menghalang anda untuk memasang impian. Lexus LX570-2 Sebagai sebuah Lexus, kenderaan ini berjaya dihasilkan dengan penampilan yang moden, elegan, premium dan pada masa sama gagah walaupun hanya terletak tidak bergerak. Ada orang yang tidak faham kenapa kenderaan seperti ini wujud, tetapi penulis boleh katakan, ini adalah pemuas bagi mereka yang hidup atau dibesarkan di kawasan ladang serta kawasan yang mencabar. Penulis membawa Lexus LX570 ini ke Kuantan bertemu seorang pakcik yang bekerja dalam bidang perladangan sejak muda dengan kenderaan harian seperti Suzuki Jimny, Hilux dan Fortuner, dan apabila melihat sahaja kenderaan ini, dia teruja seperti kanak-kanak diberi gula-gula. Cumanya, gula-gula ini berharga hampir RM1 juta. Lexus LX570-35 Dengan harga sebegitu, Lexus LX570 memang padat dengan ciri mewah. Melangkah ke dalamnya dengan memakai kasut sahaja sudah membuatkan penulis rasa tidak senang kerana karpetnya tebal dan berwarna putih. Ia seperti anda masuk ke dalam rumah. Tidak cukup dengan ciri seperti tempat duduk elektronik, pendingin hawa menyeluruh bagi semua penumpang (sehinggakan di kaki), pengawal pendingin hawa di tempat rehat tangan belakang dan dua skrin tambahan di belakang, Lexus turut melengkapkan kenderaan ini dengan peti sejuk bagi menjamin keselesaan penumpang. Lexus LX570-23 Untuk menjadikan Lexus LX570 sebagai sebuah kenderaan yang dinikmati di kerusi penumpang memang bukan satu masalah, tetapi bagi pemandu, kelebihannya tetap berada di tahap tinggi. Pertamanya, enjin kenderaan ini berkapasiti besar; 5.7L V8 dengan kuasa 362hp/530Nm, menjadikan pemanduan cukup bersahaja. Lupakan sahaja berkenaan bunyi mengeram yang terhasil oleh enjin V8 kerana pada Lexus LX570, ia tidak akan kedengaran di dalam kabin. Diisi penuh dengan penumpang dan melalui Lebuh Raya Pantai Timur, kenderaan ini kekal mantap walaupun ada kalanya jalan tidak rata. Lima tetapan mod pemanduan disediakan iaitu Normal, ECO, Comfort, Sport dan Sport+, dengan tindak balas berbeza, tetapi bagi penulis, Comfort sahaja sudah mencukupi, apatah lagi apabila memikirkan penggunaan minyak. Lexus LX570-33 Selain itu, Lexus LX570 juga dilengkapi dengan pelbagai sistem cengkaman 4WD yang dapat membantu pergerakan di kawasan mencabar termasuk pilihan L4, Multi-Terrain Select dan pelbagai lagi. Namun, penulis suka untuk fokus kepada dua iaitu Crawl Control dan Active Height Control (AHC). Crawl Control dapat mengawal pendikit dan brek secara sendiri dalam keadaan mencabar sementara pemandu pula hanya perlu mengawal stereng. AHC, apabila digabungkan dengan Adaptive Variable Suspension (AVS) pula dapat mengawal ketinggian kenderaan serta daya serapan bergantung kepada input pemandu, jumlah berat dan keadaan jalan. Lexus LX570-10 Dari aspek keselamatan pula, senarainya cukup panjang, bermakna tiada kompromi, demi ketenangan penggunanya. Antara ciri keselamatannya adalah:
  • Brek ABS,EBD,BA
  • Vehice Stability Control (VSC)
  • Active Traction Control (A-TRAC)
  • 10 beg udara
  • Tyre Pressure Warning System (TPWS)
  • Hill-start Assist (HSA)
  • Blind Spot Monitoring System (BSM)
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
  • ISOFIX
Lexus LX570-19 Secara peribadi, penulis ada dua lagi ciri yang digemari iaitu tempat duduk belakang yang boleh dilipat secara elektronik, menjadikan operasinya cukup mudah dan lampu tinggi automatik apabila bergerak di jalan yang gelap. lampu ini, apabila terdapat kenderaan lain di hadapan, ia akan kembali ke tahap normal secara automatik. Jadi, adakah kenderaan ini berada dalam senarai kereta idaman anda? [gallery ids="9304,9298,9299,9300,9301,9302,9303,9305,9306,9309,9308,9307,9310,9311,9312,9313,9314,9315,9316,9317,9318,9319,9320,9321,9322,9323,9324,9325,9326,9327,9328,9329,9330,9331,9332,9333,9334,9335,9336"]