Apa Proton boleh belajar dari Perodua

oleh Careta.my|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
Kami menerima satu lagi surat mengenai isu Proton. Surat bertajuk apa Proton boleh belajar dari Perodua, tulisan Shamsudin Bakar. Pendapat beliau tidak mewakili pendapat Careta tetapi surat beliau diterbitkan untuk memberi ruang kepada pembaca Careta agar terus menulis. Apa Proton boleh belajar dari Perodua Kerajaan nampaknya telah meluluskan pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion kepada Proton, pinjaman yang mampu mengurangkan seksa kewangan syarikat tersebut. Oleh kerana pinjaman yang sangat besar jumlahnya itu datang dari duit rakyat juga, adalah adil kerajaan meletakkan syarat-syarat kepada Proton jika ia mahu menggunakan duit tersebut. Tidak perlulah kita mengungkit kembali isu-isu yang lepas. Apa yang pasti, Proton sangat penting dalam industri automotif negara. Malah Perodua sendiri mengakui kejatuhan Proton merunsingkan mereka. Walau bagaimanapun, Proton masih perlu membuka diari lamanya untuk kebaikan syarikat itu sendiri agar ia tidak mengulang kesilapan-kesilapan dahulu. Selain dari itu, Proton mungkin boleh belajar sesuatu dari adiknya, Perodua. Saya senaraikan di sini butiran yang Proton boleh fikirkan:   1. Skala sangat penting dalam industri automotif. Proton buat masa sekarang cuma menggunakan 30 peratus dari kapasiti pengilangan dari kedua kilang mereka. Perodua pula sudah mencapai 70 peratus kapasiti pengilangan mereka, menyebabkan mereka lebih berdaya saing dalam mengembangkan pasaran mereka kerana Perodua mempunyai skala ekonomi di tangan mereka.   2. Untuk sebuah syarikat yang kecil berbanding dengan gergasi yang lain, Proton perlukan rakan kongsi untuk tujuan penyelidikan dan untuk mewujudkan skala ekonomi. Proton sendiri bermula dengan Mitsubishi, tetapi putus hubungan tersebut beberapa tahun dahulu. Malah Honda sendiri mengumumkan tahun lalu bahawa projek Proton Perdana yang menggunakan Honda Accord model terdahulu sebagai asas ialah projek pertama dan terakhir mereka. Tidak tahu apa silapnya tetapi kenapa gergasi-gergasi tersebut tidak mahu bekerjasama lagi dengan Proton? Mungkin Proton ada sebab yang kukuh, dan mungkin ia perlu diterangkan kepada semua.   3. Masalah kualiti tetap menghantui Proton dan vendor-vendor mereka. Sudah lebih 30 tahun tetapi Proton masih cuba memperbaiki masalah-masalah kualiti yang sama. Proton akan berkata ini salah vendor, dan vendor berkata mereka mengikut arahan Proton. Masalah makin rumit bila vendor-vendor tersebut juga membekalkan komponen kepada Perodua dan syarikat automotif lain tanpa sebarang masalah. Program pembinaan vendor di Perodua merangkumi dari cara komponen dibina sehingga kepada berapa jumlah keuntungan yang boleh di dapati oleh vendor. Vendor diberi latihan dan kualiti dipantau sebelum komponen tiba di kilang. Sebarang masalah, Perodua akan turun membantu vendor mengatasinya. Kerana itu, nilai Defects Per Unit (kecatatan setiap unit) Perodua sangat rendah dan semakin rendah.   4. Perodua membenarkan Daihatsu untuk mengukuhkan ekuiti mereka di dalam bahagian pengilangan tetapi secara keseluruhan, saham majoriti masih milik syarikat tempatan. Hasilnya, Daihatsu membantu memastikan kualiti pemasangan semakin baik dan Perodua terus mengawal 32 peratus dari pasaran kenderaan tempatan. Proton mungkin boleh melakukan sesuatu yang sama kerana mahu atau tidak, pengalaman ialah suatu faktor yang penting di dalam proses pengilangan dan Proton masih kurang berpengalaman walaupun pelbagai pakar diambil untuk bekerja dengan mereka selama ini.   5. Proton percaya jika mereka melakukan semua proses itu sendiri, ia akan memastikan Proton kekal buatan Malaysia. Syabas kerana semangat kental mereka itu tetapi dalam masa yang sama mungkin Proton boleh ketepikan semangat itu dan pastikan ia terus kekal relevan. Mungkin Perodua beruntung kerana tidak perlu berhadapan dengan masalah legasi, kerana Proton sampai sekarang menanggung masalah dari persepsi rakyat yang rata-rata kurang faham akan industri ini.   6. Lotus masih lagi di bawah Proton dan suntikan dana terus diberikan, walaupun jumlahnya semakin sedikit berbanding dengan dahulu. Tetapi, kisah Lotus perlu sentiasa dijadikan tauladan tetapi sayangnya Proton masih mengejar mimpi. Projek kenderaan elektrik (EV) oleh Proton dikatakan menggunakan duit bantuan kerajaan tetapi manakah EV tersebut? Harapnya Proton akan terus fokus pada enjin-enjin baharu mereka kerana itu yang lebih penting. Perodua dalam senyap mempunyai pelbagai kajian dan projek untuk memperbaiki produk-produk mereka agar membantu mengukuhkan pasaran.   7. Perodua sangat fokus kepada barisan produk mereka. Mereka lebih mementingkan pasaran kenderaan mampu-milik yang berkualiti. Perodua cuma ada tiga model tetapi pelbagai varian untuk menepati kemampuan semua lapisan masyarakat, Proton sekarang ini mempunyai Saga, Iriz, Exora, Preve, Persona, Neo, Suprima S dan Inspira. Harga-harga yang berada dalam julat yang sama membuatkan model-model Proton sudah mula bersaing antara mereka sebelum keluar dari dewan pameran! Bagaimana pula dengan model-model terbaharu mereka nanti?   8. Dahulu terdengar desas-desus akan penggabungan Proton dan Perodua. Pastinya ini akan menguntungkan vendor-vendor tetapi ia ialah satu perkara yang rumit, apa lagi bila  Perodua mempunyai pemegang saham asing. Tetapi sekiranya kedua-dua boleh digabungkan, pasti hebat! - Jangan salah anggap, saya kira semua rakyat Malaysia mahu melihat Proton bangkit. Apa lagi rakyat seperti saya yang sudah memiliki empat buah Proton selama ini. - Shamsudin Bakar