Godzila baharu sudah muncul

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Sementara menunggu model Godzila baharu sepenuhnya pada tahun 2018, Nissan melancarkan model facelift untuk GT-R mereka, walaupun ia lebih kepada perubahan suam-suam kuku sahaja.

Dipertontonkan ke umum semasa Pameran Auto Antarabangsa New York minggu lalu, bahagian luaran GT-R ini diberi sedikit sentuhan agar nampak lebih menyegarkan. Contohnya, gril V-motion baharu yang lebih besar untuk kemasukan udara lebih mudah bagi menyejukkan enjin, hud baharu, bamper depan belakang baharu, spoiler depan baharu, garisan "belt line" pada sisi badan yang duduk lebih tinggi untuk menjadikan GT-R ini nampak lebih lebar dan beberapa lagi komponen aero untuk menambahkan stabiliti GT-R semasa laju. Kadar aerodinamik tetap sama - 0.26 Cd.

Nissan-GT-R_2017_1280x960_wallpaper_22

Nissan nampaknya memberikan lebih fokus kepada rasa premium untuk model sport lagenda mereka ini. Kemasan kabin menjadi tarikan utama sekarang, dengan balutan kulit Nappa (yang dijahit dengan stail Takumi) pada keseluruhan papan pemuka serba baharu itu.

Bahan kusyen yang digunakan pada papan pemuka pula ialah dari jenis baharu yang lebih nipis dan ringan, tetapi masih sama empuk dan selesa dipegang. Jumlah suis diturunkan dari 27 ke hanya 11 kerana pelbagai fungsi untuk kawalan audio dan navigasi disatukan. Skrin sesentuh juga semakin membesar - dari 7-inci ke model 8-inci.

Padel shift kini dilekatkan pada batang stereng, dan bukan pada stereng itu. Ini membolehkan pemandu menukar nisbah gear walaupun semasa membuat pusingan.

Nissan-GT-R_2017_1280x960_wallpaper_1e

Enjin 3.8 liter V6 dengan 24 injap dan dua pengecas turbo masih kekal sama. Juga sama ialah transmisi 6-kelajuan dengan klac kembar (dual-clutch gearbox). Yang berubah ialah kadar kuasa yang dihasilkan - 565 hp pada 6,800 rpm, dan daya kilas (torque) pada 633 Nm, peningkatan sebanyak 20hp dan 5Nm.

Edaran Tan Chong Motor (ETCM), pengimport, pemasang dan pengedar jenama Nissan di Malaysia memang tidak pernah mengimport masuk model GT-R ini. Antara sebab yang diberikan ialah harganya yang tinggi serta saingan sengit dari model terpakai di pasaran kenderaan "recond" yang bakal membunuhnya.

Kenderaan terpakai "recond" akan datang dengan cukai yang lebih rendah, dan pengimport "recond" tidak perlu membuat pelaburan untuk khidmat aftersales atau waranti. Oleh kerana itu, harganya memang akan jauh lebih murah dari unit yang dibawa masuk secara rasmi. Contoh terbaik ialah Toyota Alphard yang dijual hampir pada RM400,000 untuk unit baharu yang diimport masuk oleh UMW Toyota berbanding dengan Alphard yang berusia cuma empat ke lima tahun dan harganya 30 ke 40 peratus lebih murah. Kerana itu, UMW Toyota telah menghentikan jualan model tersebut.

* Gambar dari Netcarshows

[gallery size="large" columns="2" ids="6835,6834,6832,6826,6827,6828,6829"]