Anthony West beraksi di ARRC

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Nampaknya persaingan di kejohanan Asia Road Racing Championship menjadi semakin hangat dan sengit berikutan penyertaan ramai pelumba berpengalaman di persada perlumbaan motosikal Asia ini. Terkini, mantan pelumba Moto2, Anthony West yang telah beraksi di pentas Grand Prix Dunia dari tahun 2010 hingga 2015 telah mengesahkan bakal menyertai saingan Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) pada pusingan pertama yang akan berlangsung di Litar Johor, Pasir Gudang, Johor pada 31 Mac hingga 2 April ini. West akan beraksi bersama 21 pelumba lain dalam kelas perdana SuperSports 600cc dan merupakan salah seorang antara sembilan pelumba yang pernah beraksi di pentas kejuaraan dunia selain Yuki Takahashi, Zaqhwan Zaidi, Decha Kraisart, Azlan Shah Kamaruzaman, Noriyuki Haga, Ratthapong Wilairot, Thitipong Warokorn dan Tomoyoshi Koyama. Saingan SuperSports 600cc ARRC dimeriahkan dengan kehadiran West “Saya akan beraksi menentang barisan pelumba ‘factory’ lain pada minggu ini. Namun ia bukan sesuatu yang baharu bagi saya. Mari kita lihat adakah saya mampu untuk memenangi perlumbaan,” jelas pelumba berusia 35 tahun yang akan menggunakan jentera Yamaha YZF R6 bersama pasukan Singapura, Akeno Speed WJR Racing. West sebelum ini menjalani ujian persendirian bersama pasukan di litar sepanjang 3.86km ini namun tidak hadir ketika sesi ujian pra-musim, minggu lepas. Sesi latihan bebas pertama pada hari Khamis, 31 Mac merupakan aksi pertama West berdepan pelumba-pelumba Asia lain. Perlumbaan 1 akan berlangsung pada Jumaat, 1 April dan Perlumbaan 2 pada Sabtu, 2 Apri di Litar Johor, Pasir Gudang. Masuk adalah percuma.