Model 2024 tampil dengan warna baharu hijau lembut, Matte Light Green Gray Metallic.
Menurut Yamaha, warna itu berdasarkan konsep kedalaman fikiran dalam kesenyapan.
Tona warna mengingatkan kepada falsafah wabi-sabi Jepun (kecantikan asli/penerimaan sifat).
Warna itu dipilih kerana sebati dengan kehidupan harian dan boleh diterima di dalam pelbagai jenis keadaan.
Begitulah falsafah Jepun walaupun untuk sebuah skuter.
Dua warna sedia ada iaitu Putih Metalik dan Kelabu Kusam Metalik kekal ditawarkan.
Seperti biasa, Yamaha mencukupkan siri skuter dengan dua jenis enjin iaitu 155cc dan 125cc.
Tricity 155 ABS boleh dipandu di lebuh raya dan digunakan untuk ke tempat kerja, sekolah dan tunggangan hujung minggu.
Tricity 155 ABS digerakkan enjin 155cc SOHC, silinder tunggal yang menghasilkan 15 ps pada 8,000 rpm dan tork 14Nm pada 6,000 rpm.
Tangki petrol untuk tunggangan hujung minggu mempunyai kapasiti 7.2 liter.
Tricity 125 dibekalkan tangki sama dan digerakkan enjin 124cc SOHC, silinder tunggal dengan kuasa 12 ps pada 8,000 rpm dan tork 11Nm pada 6,000 rpm.
Kedua-dua jenis enjin menggunakan teknologi Blue Core, VVA dan dilengkapi Smart Motor Generator (SMG) dan Sistem Henti & Mula.
Tricity 155 dan 125 berkongsi ukuran dengan panjang 1,995 milimeter (mm), lebar 750 mm dan tinggi 1,215 mm.
Tinggi pelana 770 mm membolehkan pelbagai fizikal badan memandunya dengan jarak kelegaan bumi 165 mm.
Walaupun berkongsi ukuran, Tricity 155 bertambah empat kilogram (kg) daripada 168 kg yang dimiliki Tricity 125.
Tiga roda bermakna tiga brek cakera dan perhatikan kedudukan cakera yang diletakkan pada sisi dalam roda depan.
Sesuai dengan perkembangan semasa, Tricity dilengkapi Sistem Kunci Pintar dan seperti model Yamaha lain boleh dihubungkan dengan aplikasi Y-Connect.
Dari segi kebolehgunaan, muatan bawah pelana mempunyai ruang 23.5 liter dan Tricity 155 ABS istimewa dengan lampu LED dan jack DC 12V.
Berkenaan harga, Tricity 155 ABS dijual pada 565,500 yen (RM17,947) dan 495,500 yen (RM15,725) untuk Tricity 125.
Skuter LMW ini dibuat dan diimport dari negara jiran, Thailand.
Penulis: Muhammad Md Tajudin