Pemilik Range Rover ini betul-betul memberi perhatian kepada bahagian dalam. Bukan setakat balutan tetapi buatan baharu paling besar pernah Lunaz lakukan.
Papan pemuka ditukar kepada unit baharu yang siap dengan konsol tengah lebih panjang dan dihasilkan melalui cetakan tiga dimensi (3D).
Kerja-kerja reka bentuk, pembangunan dan pembuatan dilakukan secara dalaman oleh Lunaz dan mengambil masa lebih dua tahun.
Lama dan berbaloi kerana rekaan tersebut akan dilengkapi pada Range Rover elektrik akan datang.
Konsol tengah yang dibuat dari bahan komposit dipasang skrin maklumat hibur dengan pelbagai kegunaan seperti kawalan digital untuk penyaman udara dan pemanas.
Skrin itu juga menjadi paparan kamera undur dan boleh dihubungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Turut dilengkapi slot USB-C untuk mengecas peranti. Membawa imej klasik, konsol tengah dibuat dalam warna Mocca Walnut dan dilapis sampang satin kalis cuaca.
Kerusi juga direka baharu supaya lebih menarik, selesa dan ergonomik dan menggunakan bahan pad seperti kereta projek Rolls-Royce dan Bentley.
Kedua-dua kerusi depan mempunyai fungsi pemanas dan selain kulit, Lunaz menggunakan balutan kalis air dan tahan klorin.
Kerja-kerja bahagian dalam projek ini mengambil masa lebih 1,000 jam untuk dibangunkan dan disiapkan.
Enjin V8 asal diganti dengan rangkaian kuasa elektrik yang menghasilkan 280 kW (375 hp).
Bagi menguruskan kuasa tambahan, penyerap hentak asal ditukar kepada jenis boleh laras dan pegas gegelung buatan khas.
Pasangan brek enam dan empat omboh dipasang di depan dan belakang. Ciri off-road seperti jarak mengharungi air setinggi 500 milimeter dikekalkan.
Sudut kelegaan depan (approach), tengah (breakover) dan belakang (departure) juga kekal.
Dengan siapnya projek ini, Lunaz mempunyai 50 lagi slot buat peminat yang mahu mengubahsuai Range Rover klasik mereka.
Penulis: Muhammad Md Tajudin