Ciri paling mudah dikesan pada DesertX Rally ialah grafik baharu dan tulisan Ducati yang lebih menyerlah dan terpampang besar.
Tidak hanya menjual penampilan, madgad dipasang tinggi dan jarak kelegaan suspensi Kayaba dinaikkan.
Sepit udang mempunyai katrij tertutup dan penyerap hentak menggunakan omboh lebih besar dari motosikal lasak (motocross).
Rim lidi juga berbeza iaitu jenis berlidi di tengah (central-spoked).
Beberapa lagi perkakasan seperti pelindung takungan karbon, pedal gear dan tuil brek belakang tahan lasak membolehkan model ini mengharungi permukaan ekstrem.
DesertX Rally dipasang peredam boleh laras Öhlins yang dipasang terus pada hendal.
Lengan ayun belakang menggunakan sudut sangkutan yang berbeza daripada DesertX standard.
Rim depan dan belakang dipasang tayar Pirelli Scorpion Rally STR dan mempunyai beberapa pilihan seperti Scorpion Rally atau Scorpion Trail II.
Sama seperti model standard, DesertX Rally digerakkan enjin 937 cc Ducati Testastretta 11° dua silinder.
Enjin itu menghasilkan 110 kuasa kuda (hp) pada 9,250 rom dan tork 92Nm pada 6,500 rpm.
Terdapat enam Mod Tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro, Rally.
Fungsi Cornering ABS, Ducati Traction Control (DTC) dan Ducati Wheelie Control (DWC) ditentukur untuk kegunaan off-road yang mencabar.
Ciri-ciri Ducati DesertX Rally 2024:
- Tangki 21 liter
- Madgad tinggi dengan saluran brek terpisah
- Rim lidi dengan hab bilet, saiz 21” x 2.15” dan 18” x 4”
- Lidi keluli karbon dan rim Takasago Excel dengan tiub dalaman
- Tayar Pirelli Scorpion Rally STR saiz 90/90-21 (depan) dan 150/70 R18 (belakang)
- Sepit udang KYB diameter 48 mm dengan katrij tertutup, jarak (travel) 250 mm
- Lapisan Kashima pada tiub sepit udang dan DLC pada gelangsar (slider)
- Penyerap hentak KYB dengan omboh 46 mm, jarak 240 mm, mampatan boleh laras pada kelajuan tinggi dan perlahan, lantunan dan prabeban
- Jarak (travel) roda depan 250 mm (+20 mm) dan belakang 240 mm (+20 mm)
- Kelegaan bumi 280 mm (+30 mm)
- Peredam boleh laras Öhlins yang dipasang terus pada hendal
- Grafik Iron Giant
Ducati DesertX Rally dijual lebih mahal daripada DesertX standard dan berharga 18,995 pound (RM109,033).
Motosikal ini boleh didapati di pengedar Ducati di Eropah pada Januari 2024.
Penulis: Muhammad Md Tajudin