Multistrada 1200S baharu produk serbaboleh

oleh Careta.my|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Genre motosikal kembara atau adventure bike memang semakin popular, dan sering ia dikaitkan dengan motosikal-motosikal jenama Eropah seperti BMW dan KTM.

Namun begitu, Ducati melihat masih ada lagi kekosongan dalam kelompok tersebut. Bila mana semua pemain sibuk bertumpu akan kelasakan motosikal adventure mereka, Ducati percaya ada ramai yang mahukan sebuah motosikal yang masih boleh ditunggang jauh untuk trip overland, tetapi dalam masa yang sama, tidak mahu sebuah motosikal yang memberi pengendalian seperti sebuah tongkang.

Oleh itu, Multistrada direka agar menjadi pilihan kepada mereka yang biasa menunggang motosikal super sportsbike tetapi mahukan sesuatu yang lebih santai dan tidak begitu membongkok.

Namun begitu, generasi sebelum Mutlstrada ini dikatakan masih terlalu sporti, dan oleh itu, versi terbaharu Multistrada ini dikatakan lebih relax dan lebih lancar.

Kami ke Chiang Rai, Thailand atas jemputan Ducati untuk menunggang-uji Multistrada 1200S yang dipasang di Thailand. Di bawah ialah laporan tunggang uji kami:

- Ducati menjemput wartawan-wartawan permotoran dari Asia untuk sesi tunggang uji ini. Kami diletakkan di dalam satu kumpulan dengan wartawan dari Singapura, Vietnam dan Filipina.

- Jarak perjalanan yang diberikan oleh Ducati ialah 320 km, dan merangkumi jalan-jalan bandar, jalan berliku dan jalan berbukit yang sempit dan curam. Konvoi dikepalai oleh seorang polis trafik dan marshal Ducati, diikuti dengan sweeper dari Ducati dan sebuah van teknikal Ducati serta sebuah ambulan.

- Multistrada 1200S ini ialah sebuah motosikal yang sangat high-tech - ia dilengkapi dengan teknologi suspension Skyhook Evo sebagai alatan standard yang mampu mengawal penyerap hentak Sachs.

- Selain dari itu, Multistrada 1200S dilengkapi dengan sistem Intertial Measuring Unit, sebuah komputer yang mampu mengesan pergerakan motosikal itu dan juga kadar pendikit dipulas, sudut mengambil selekoh dan kadar penggunaan brek. Kesemua input itu digunakan untuk mengawal enjin, suspensi dan traction control agar penunggang dapat mengawal motosikal ini dengan lebih baik.

MULTISTRADA1200S-252

- Multistrada 1200S juga datang dengan Ducati Traction Control (DTC), Ducati Wheelie Control (DWC), ABS dan kawalan cruise. Malah, ia juga ada sistem multimedia Bluetooth yang mampu berhubung dengan telefon pintar anda dan peranti Bluetooth pada helmet penunggang dan pembonceng.

- Anda boleh berkongsi maklumat telemetrik dan lokasi anda menunggang dengan media sosial melalui sistem multimedia tersebut dan telefon pintar anda (anda harus download aplikasi dari internet untuk telefon pintar anda).

- Enjin ini menghasilkan 158 hp dan 136 Nm, sangat berkuasa untuk sebuah adventure bike. Namun begitu, mod-mod dalam DTC memberikan kawalan yang sangat baik sehinggakan penunggang tidak takut dengan hamburan tenaga yang dikeluarkan.

- Mod Sports ialah mod tunggangan paling "ganas", dan ia mengingatkan penulis kepada model Multistrada yang lama. Kawalan ABS dan Traction Control ialah pada kadar paling rendah. DWC juga dikurangkan, membenarkan anda mengangkat tayar hadapan!

- Mod Touring masih memberikan kuasa penuh pada penunggang, tetapi input pendikit dilaraskan agar tidak begitu agresif. ABS dan Traction Control diletakkan dalam posisi paling tinggi agar keselamatan tidak terabai. Jika anda cuba ber-wheelie, DWC akan masuk dan menutup pendikit serta Traction Control akan mengurangkan tenaga ke tayar belakang. Memang terasa sistem cuba mengawal keadaan bila pendikit dipusing banyak agar motosikal tidak wheelie. Mod Touring boleh dikatakan mod yang paling serba-boleh dan penulis sering membiarkan Multistrada 1200S ini dalam mod tersebut.

- Mod Urban khusus untuk pemanduan dalam bandar, dan tenaga diturunkan ke 100 hp serta pendikit ditala kepada kedudukan yang tidak agresif. Sesuai untuk penunggang baru kerana kawalan Traction Control dan ABS serta DTC ialah pada tahap maksima.

- Mod Enduro pula untuk tunggangan di atas tanah atau permukaan berpasir dan berbatu. Kuasa dihadkan ke 100 hp tetapi ABS dan traction control diletakkan ada tahap terendah agar tayar belakang boleh "dikunci" dengan brek belakang. Ini sesuai untuk tunggangan offroad.

F87D8305

- Sememangnya ada antara wartawan di dalam kumpulan penulis tidak begitu biasa menunggang di jalan sempit yang berliku. Penulis terpaksa menjadi "bad boy" dan memotong beberapa penunggang di hadapan untuk mendapat laluan lebih selamat dan untuk menguji ketangkasan jentera Itali ini.

- Di kawasan berliku, sistem gantungan Skyhook Evo ini nyata mampu menggigit jalanraya dengan baik. Penulis dapat merasakan apa yang dilakukan oleh tayar hadapan dan selekoh diambil dengan laju. Ini jauh lebih bagus dari Skyhook generasi pertama yang penulis pernah alami ketika menunggang uji Mutlistrada generasi kedua di Bilbao, Spain dahulu.

-  Konsep 4 motosikal dalam 1 yang dicadang oleh Ducati untuk model ini memang benar-benar dapat dirasakan, dan untuk penunggang veteran, ia memudahkan lagi tunggangan. Paling penting, ia meningkatkan jaringan keselamatan apabila keadaan menunggang tidak begitu baik - contohnya ketika jalan licin kerana hujan.

- Paparan LCD yang digunakan masih mampu dilihat dengan jelas walaupun menunggang di bawah matahari terik Thailand. Skrin terdahulu sedikit bersilau dan memberi masalah ketika siang hari.

[gallery size="large" columns="2" ids="5727,5726"]

- Suis-suis pada bar hendal sangat mudah untuk digunakan, tidak seperti model Multistrada generasi sebelumnya. Tidak lagi terkial-kial untuk mencari punat yang betul. Paling mudah digunakan ialah butang untuk kawalan cruise - mudah dihidupkan, dan mudah dimatikan.

- Walaupun Multistrada 1200S ini seberat 235 kg, langsung tidak terasa kerana ia sangat-sangat lincah, umpama sebuah superbike yang sudah ditunggang bertahun-tahun. Ia memberikan keyakinan kepada penunggang untuk turun lebih rendah dan brek lebih lewat, walaupun sebenarnya baharu sejam menunggang.

- Di dalam bandar, penulis dengan mudah mampu menyelit di celah-celah kenderaan kerana badannya yang langsing dan pendikit yang tidak terlalu sensitif (dalam mod Touring atau Urban).

- Dalam mod Sport, terasa pendikit menjadi sangat sensitif, dan enjin menjadi ganas. Malah, bunyi dan gegaran juga mirip model lama Multistrada! Sesiapa yang berkata Multistrada 1200S ini terlalu lembut pasti tidak mencubanya di dalam mod Sport!

- Tayar Scorpion Trail II oleh Pirelli itu juga memberikan cengkaman yang baik ketika jalan basah atau kering. Paling penting, Pirelli berkata ia tahan 60 peratus lebih lama! Sesuai untuk merka yang mahu berjalan jauh ke Thailand atau ke Vietnam. Bahagian tengah yang keras memberikan stabiliti untuk tunggangan laju tetapi bahagian dindingnya yang lebih lembut membantu memberikan keyakinan untuk mengambil selekoh.

_H1_1424

- Skrin depan mudah dialihkan kedudukannya. Cuma tarik klip dan tolak ke atas. Untuk penulis yang setinggi enam kaki, skirn itu cukup untuk menampan angin tanpa sebarang gegaran akibat buffeting.

- Brek depan diambil terus dari Ducati Panigale, bermakna dua cakera 330 mm di kiri dan kanan. Jika permukaan licin, lampu ABS dengan segera akan berkelip-kelip jika brek depan ditarik terlalu kuat!

- Enjin Testastretta DVT (Desmodromic Variable Timing) kali ini mampu mengawal injap kemasukan dan injap ekzos secara berasingan, punca kenapa enjinnya sangat lancar. Jarak antara servis juga sudah dilanjutkan ke 7,500 km (di Eropah, ia mampu pergi hingga 15,000 km tetapi keadaan cuaca di Malaysia tidak mengizinkan).

- Sistem injap DVT itu juga memberikan lebihan tenaga dari RPM yang rendah, memudahkan lagi tunggangan, terutama di kawasan bandar. Jika dahulu kita perlu turun gear ke nisbah lebih rendah, tetapi kini cuma pulas dan tenaga terus datang mencurah dari kelajuan enjin yang rendah. Ini juga menjimatkan penggunaan bahan bakar, bagus untuk perjalanan jauh supaya tidak kerap berhenti mengisi minyak.

- Multistrada 1200S sememangnya motosikal adventure yang lebih fokus kepada perjalanan di atas jalanraya dan untuk yang mahukan tunggangan gaya sporti. Ini ada logiknya kerana tidak ada guna memilik motosikal adventure yang nampak seperti boleh ke gurun atau meredah sungai dan hutan belantara tetapi sebenarnya hanya ditunggang di atas jalanraya sahaja.

- Naza Next Bike telah pun melancarkan motosikal Ducati Multistrada ini dua minggu lalu dan harganya ialah RM119,999 untuk Multistrada 1200 dan RM135,999 untuk model Multistrada 1200S, harga tersebut termasuk GST dan kos lain atas jalan kecuali insurans. Untuk model CKD, hanya warna merah yang diberikan.

[gallery size="medium" ids="5725,5724,5723,5722,5721,5720,5719,5718,5716,5715,5714,5706,5705,5707,5708,5713,5712,5711,5710"]