"Kami telah mendapat kebenaran Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan untuk turut serta dalam operasi ini. Kami faham prosedur kerja-kerja penyelamatan seperti ini.
"Kami tolong seikhlas hati, setakat yang mampu. Insya-Allah niat kami ikhlas untuk bantu pasukan pencarian dan ringankan beban emosi ditanggung keluarga waris yang masih tertanya-tanya keberadaan mangsa yang belum ditemui," katanya ketika dihubungi Bernama pada Selasa.
Mohamad Yusof berkata, memasuki hari ketiga terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu, beliau dan kumpulannya turut berdepan kesukaran terutama apabila terpaksa melalui laluan berlumpur yang menyebabkan kenderaan mereka tersangkut.
Bagaimanapun, perkara itu tidak melunturkan semangat mereka untuk terus berada dalam operasi SAR tersebut sehingga mangsa terakhir berjaya ditemukan kelak.
"Kalau ada kejadian seperti ini, orang Kampung Air Putih akan sentiasa cuba bekerjasama dengan agensi penyelamat. Selagi tidak jumpa kesemua 10 mangsa selagi itulah kami akan berusaha.
"Ini sebenarnya bukan kali pertama kami terlibat dengan kerja-kerja sukarelawan. Sebelum ini kami juga terlibat bantu penduduk kampung dalam operasi banjir," katanya.
Media pada Ahad melaporkan sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dan seorang dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan arus kepala air ketika sedang berkelah di jeram tersebut dalam kejadian pada Sabtu.
Lapan mayat telah ditemui sejak hari pertama operasi SAR dijalankan pada Ahad hingga hari ini, iaitu Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Putri Balqis Izzati Karim, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Dalam perkembangan terkini, tujuh jenazah kecuali Putri Alleya Maisarah yang ditemukan petang ini, telah dihantar pulang ke kampung mereka pada jam 6.25 petang tadi untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir, Kuantan.
Dua lagi mangsa belum dijumpai iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, tunang kepada Putri Balqis Izzati.